Wanita Singapura buat cerita culik didakwa di mahkamah esok

Wanita Singapura buat cerita culik didakwa di mahkamah esok



am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Wanita warga Singapura membuat laporan palsu mendakwa cuba diculik di pusat beli-belah KSL, Taman Abad akan dihadapkan ke mahkamah, esok.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, wanita berusia 45 tahun itu akan dituduh di Mahkamah Majistret di sini pada 9 pagi.

“Arahan pertuduhan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata, polis menerima laporan cubaan culik wanita warga asing pada 22 Januari lalu dengan kes dikatakan berlaku kira-kira 1 tengah hari, 10 Januari.

Katanya, wanita itu mendakwa didatangi lelaki dan wanita berbangsa Cina yang menjual teh kepadanya dan dipaksa menghidu teh itu menyebabkan dia pening dan pengsan.

“Bagaimanapun siasatan lanjut polis mendapati cubaan culik itu tidak berlaku dan rakaman CCTV serta bukti-bukti teknikal juga mengesahkan tiada sebarang pergerakan (cubaan culik) dikesan di lokasi kejadian,” katanya.

Katanya, kes itu yang tular di media sosial memberi implikasi negatif apabila ramai mempercayainya kejadian sebenar dan mengaitkan isu sebagai ancaman keselamatan kepada pelancong.

“Polis Johor memberi jaminan bahawa tahap keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini adalah terkawal dan kita komited memantau keselamatan negeri ini.

“Kami ingin memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja menyebarkan khabar angin atau memanipulasi fakta dengan tujuan menyebabkan kegusaran kepada awam terutama menyentuh isu keselamatan,” tegasnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top