Wanita transgender didapat bersalah lakukan serangan seksual

Wanita transgender didapat bersalah lakukan serangan seksual


London: Seorang wanita transgender didapati bersalah atas kesalahan serangan seksual selepas menipu seorang lelaki dengan mendakwa dirinya sebagai wanita semula jadi.

Memetik BBC, tertuduh, Ciara Watkin, 21, yang secara biologinya adalah lelaki memberitahu mangsa bahawa dia sedang didatangi haid bagi mengelakkan identiti sebenar terbongkar, demikian yang dilaporkan di Mahkamah Mahkota Teesside.

Mahkamah turut dimaklumkan tertuduh menggunakan nama Ciara sejak usia 13 tahun walaupun tidak pernah menjalani sebarang rawatan perubatan atau pembedahan.

Pihak pendakwaan berkata, kes itu membabitkan isu ‘persetujuan termaklum’, dengan mangsa menegaskan dia tidak akan melakukan hubungan seks dengan Watkin sekiranya mengetahui status sebenar defendan.

Kedua-duanya yang sebaya berkenalan melalui Snapchat sebelum bertemu dan melakukan hubungan seksual.

Difahamkan, Watkin menghalang mangsa daripada menyentuh bahagian tertentu tubuhnya dengan alasan sedang datang haid.

Namun selepas mendedahkan dirinya sebenarnya lelaki, mangsa membuat laporan polis.

Peguam tertuduh berhujah bahawa Watkin jelas kelihatan dan kedengaran seperti lelaki, maka sepatutnya perkara itu sudah diketahui mangsa.

Juri yang terdiri daripada tujuh wanita dan lima lelaki mengambil masa sejam untuk mencapai keputusan selepas perbicaraan dua hari.

Hakim, Recorder Peter Makepeace KC berkata, hukuman penjara adalah kemungkinan dan menetapkan sebutan hukuman pada 10 Oktober ini.

Susulan itu juga, Watkin turut diarahkan mendaftar sebagai pesalah seksual dalam tempoh tiga hari.

Sementara itu, Sarah Nelson, pendakwa kanan di Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota Wilayah Timur Laut, berkata jelas sebelum aktiviti seksual berlaku, Watkin ‘tidak membuat sebarang usaha untuk memaklumkan’ mangsa tentang ‘status transgendernya’.

Jelasnya, serangan itu memberi ‘kesan besar’ terhadap kesejahteraan mental mangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top