Menerima anugerah khas Pencapaian Sepanjang Hayat pada Malam Gala Affin Invikta Top 50 Women of Excellence Awards 2025 yang berlangsung baru-baru ini, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berharap penghargaan ini menjadi peniup semangat semua wanita di luar sana.
Pengiktirafan ini selaras dengan perjalanan hampir tiga dekad Biduanita Negara yang sudah membina legasi kukuh dalam industri muzik tanah air, selain terus menjadi sumber inspirasi untuk generasi baharu.
“Syukur Alhamdulillah. Saya sangat berterima kasih untuk penghargaan ini. Harapan saya, pencapaian ini dapat meniup semangat wanita di luar sana kerana wanita hari ini bukan sekadar berada di dapur, tetapi turut menggalas peranan penting di barisan hadapan negara.
“Bila ada pihak yang meraikan wanita hebat di Malaysia, ia memberi peluang kepada semua wanita untuk berdiri sama tinggi dan turut menyumbang kepada ekonomi. Kita juga perlu menghargai suri rumah sebab tanggungjawab mereka besar dan luar biasa walaupun nampak seperti berada di rumah sahaja,” katanya lagi.
Majlis Affin Invikta Top 50 Women of Excellence Awards 2025 menghimpunkan 50 wanita luar biasa yang memberikan kesan besar dalam pembangunan negara, merentasi bidang perniagaan, sains, seni, sukan, tadbir urus, kebajikan dan profesion lain yang mengangkat imej Malaysia ke peringkat global.
Anugerah anjuran Top 50 Media Synergy Sdn Bhd dengan kerjasama eksklusif Affin Invikta dari Affin Bank Berhad serta sokongan Kementerian Belia dan Sukan ini terus kukuh sebagai platform pengiktirafan wanita paling berprestij di Malaysia.
Daripada lebih 300 pencalonan, beberapa penerima menjadi tumpuan ramai termasuk pemenang Anugerah Grammy Tan Sri Michelle Yeoh, tokoh ekonomi Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Menteri MITI Tan Sri Rafidah Aziz, pengasas bersama Grab Tan Hooi Ling, YAM Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah, ikon muzik Datuk Sheila Majid, atlet Olimpik Pandelela Rinong, pakar bedah serta advokat kesihatan Dr Amalina Bakri dan tokoh perubatan Tan Sri Dr Robaayah Zambahari.
Pemilihan mereka dibuat berdasarkan kepimpinan cemerlang, impak yang dibawa serta dedikasi mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Pengasas TOP50 Media Synergy, Kishvin Sirinavin, menjelaskan platform ini diwujudkan bukan sekadar meraikan pencapaian wanita, tetapi juga kesinambungan legasi mereka.
“Hari ini kita meraikan warisan. Bila wanita melangkah ke hadapan, negara juga turut maju. Top 50 bukan hanya anugerah, tetapi satu pergerakan,” katanya.
Inisiatif ini juga seiring dengan fokus Affin Invikta untuk memperkukuh kepimpinan, keusahawanan, kestabilan kewangan serta peranan ekonomi wanita Malaysia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah, menegaskan sokongan mereka terhadap pemerkasaan wanita negara.
“Kami bangga berdiri bersama wanita-wanita luar biasa Malaysia. Inisiatif ini menunjukkan komitmen kami terhadap ruang kepimpinan dan keterlihatan wanita,” katanya.
Penganjuran ini turut menyokong Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030, sejajar aspirasi Malaysia Madani yang mengutamakan penyertaan inklusif wanita dalam semua sektor.
Sebagai usaha berterusan, Top 50 Media Synergy akan memperluas impak program ini melalui pelbagai inisiatif termasuk Women of Excellence Legacy Series 2026, siri forum kepimpinan suku tahunan, Women Entrepreneurship Accelerator, program mentor belia, projek CSR berfokus pendidikan dan pembangunan komuniti serta penganjuran di peringkat antarabangsa.
Semua program lanjutan ini bertujuan memastikan momentum platform Top 50 berterusan sepanjang tahun.
Kemuncak malam tersebut menyaksikan Datuk Seri Siti Nurhaliza menerima Lifetime Achievement Award sebagai penghargaan terhadap sumbangannya dalam seni, keusahawanan dan inspirasi yang terus dibawanya kepada generasi masa depan.






