Warga Bangladesh mengaku bersalah miliki 35,000 liter diesel tanpa lesen

Warga Bangladesh mengaku bersalah miliki 35,000 liter diesel tanpa lesen

Warga Bangladesh mengaku bersalah miliki 35,000 liter diesel tanpa lesen


am@hmetro.com.my

Melaka: Lebih dua tahun menghilangkan diri selepas diberi jaminan, lelaki warga Bangladesh didakwa semula di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan memiliki 35,000 liter minyak diesel tanpa lesen, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Altaf Aziz Kardar, 42, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama dua individu lain didakwa mempunyai kawalan ke atas 35,653 liter diesel yang juga barang kawalan berjadual di sebuah stor di Jalan PK 20, Kawasan Perindustrian Krubong, pada jam 3 petang, 6 Oktober 2023.

Dia didakwa berurusan dengan minyak diesel berkenaan secara runcit atau borong tanpa lesen yang sah, sekali gus melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau dengan kedua-duanya.

Bagi kesalahan kedua, dia boleh didenda maksimum RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhammad Ashraf Nashruddin Ahmad Nazri dan Norhysham Md Noor manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Dalam hujahnya, Muhammad Ashraf Nashruddin memohon tarikh sebutan baharu untuk menyediakan fakta kes dan dibenarkan mahkamah.

Katanya, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh adalah warga asing.

“Tertuduh ditangkap pada 6 Oktober 2023 diberikan jaminan polis pada 10 Oktober 2023 sementara menunggu kes dituduh di mahkamah, namun ketika proses untuk serahan dokumen saman, tertuduh menghilangkan diri sebelum ditangkap semula pada 11 Jun lalu,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 Jun ini bagi fakta kes dan hukuman. Tiada jaminan diberikan kepada tertuduh.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top