mhafis@mediprima.com.my
Sepang: Wanita warga China yang ditahan berhubung kes mencederakan pegawai kaunter imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang esok.
Timbalan Ketua Polis Daerah KLIA, Superintendan Albany Hamzah berkata, lima keterangan individu sudah direkodkan membabitkan kes ini.
“Keterangan ini termasuklah mangsa (pegawai kaunter).
“Wanita China ini akan dituduh esok di mahkamah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengenai rekod kemasukan wanita terbabit ke dalam negara, Albany berkata, perkara itu disiasat oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Harian Metro sebelum ini melaporkan bimbang terlepas penerbangan punca wanita warga China mencederakan pegawai kaunter imigresen ketika pemeriksaan pelepasan di KLIA.
Wanita itu ditahan kerana bertindak agresif dan mencederakan pegawai kaunter imigresen ketika pemeriksaan pelepasan di KLIA di sini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7.40 malam di Balai Berlepas KLIA Terminal 1 apabila empat warga China terdiri daripada dua dewasa dan dua kanak-kanak menjalani pemeriksaan pelepasan imigresen.
Wanita warga China berkenaan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam), Seksyen 332 (mencederakan penjawat awam), dan Seksyen 353 (menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam).
© New Straits Times Press (M) Bhd