Warga China pandu Lamborghini disaman tiada lesen

Warga China pandu Lamborghini disaman tiada lesen


PETALING JAYA: Seorang lelaki warga China yang memandu sebuah kereta mewah jenis Lamborghini Aventador ditahan kerana tiada lesen memandu dalam operasi bersepadu di Jalan Bangsar di sini, semalam.

Lelaki berusia 28 tahun yang juga seorang pencipta kandungan itu memandu kereta berkenaan bersama teman wanitanya dalam perjalanan pulang ke Damansara Heights selepas menghadiri majlis pelancaran sebuah restoran makanan segera di Kepong.

Operasi bersepadu bermula pukul 8 malam itu melibatkan 115 anggota dan pegawai pelbagai agensi antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, pihaknya hanya mengeluarkan saman kepada pemandu berkenaan.

“Kenderaan itu tidak disita, kita membenarkan penumpang berlesen sah membawa kenderaan tersebut pulang,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Menurutnya, 26 kenderaan disita dalam operasi bersepadu itu.

Jelasnya, sebanyak 1,627 kenderaan turut diperiksa dan daripada jumlah itu, 211 kenderaan telah dikenakan tindakan penguatkuasaan.

“Kita turut menyita 24 motosikal dan dua kenderaan barangan.

“Sebanyak 463 notis melibatkan pelbagai kesalahan seperti memandu tanpa lesen, tiada lesen vokasional, tiada cukai jalan, tiada insurans dan pengubahsuaian kenderaan telah dikeluarkan,” katanya.

Menurutnya, JSPT turut memeriksa 60 kenderaan dan mengeluarkan 30 saman.

“Imigresen pula telah memeriksa 29 warga asing dan menahan seorang lelaki dan dua wanita warga Indonesia.

“AADK turut menjalankan ujian saringan air kencing ke atas 37 individu dan menahan dua lelaki dan seorang wanita kerana positif dadah jenis ganja,” katanya.

Hamidi berkata, pihaknya mengeluarkan sebanyak 4,559 notis atas pelbagai kesalahan jalan raya sepanjang pelaksanaan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (Op HRA) 2025 yang berlangsung selama 14 hari bermula 24 Mac hingga 8 April lalu.

“Sebanyak 15,490 kenderaan telah diperiksa di beberapa lokasi utama sekitar ibu negara termasuk Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Terminal Bersepadu Gombak (TBG), lebuh raya serta jalan-jalan utama.

“Hasil pemeriksaan mendapati 1,729 kenderaan diambil tindakan manakala 24 buah kenderaan turut disita mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top