am@hmetro.com.my
Kuala Berang: Warga emas berputih mata apabila 12,000 anak semaian pokok balak yang diusahakan ditenggelami banjir yang berlaku Disember lalu.
Tijah Ali, 70, dari Kampung Kuala Jeneris di sini, berkata, banjir yang berlaku mengakibatkan anak pokok balak yang disemainya beberapa hari sebelum itu tenggelam dan mengalami kerosakan.
Menurutnya, sebanyak 12,000 anak pokok yang disemainya dan sedang melalui proses pemeluwapan (perpeluhan) bagi tujuan tumbesaran di dalam rumah hijau habis ditenggelami banjir.
Katanya, banjir kali ini agak luar biasa kerana sepanjang hampir 70 tahun menetap di kampung itu hanya 2017 pernah berlaku banjir di pekarangan rumahnya.
“Namun, banjir tahun ini mengakibatkan sekali lagi rumahnya ditenggelami banjir dan disifatkan lebih teruk daripada yang berlaku pada 2017.
“Habis semua anak pokok balak yang disemai ditenggelami banjir dan melalui pengalaman pokok-pokok yang patah sememangnya sukar untuk tumbuh serta hidup kembali,” katanya.
Menurutnya, dia reda dengan kejadian itu yang dianggap sebagai ujian buatnya dan akan meneruskan kerja menyemai kembali anak pokok balak yang diusahakan sejak 24 tahun lalu itu.
Katanya, setiap anak pokok yang disemai dan matang akan dijual dengan harga RM1 sepokok dan walaupun berdepan musibah banjir dia tidak patah semangat untuk terus melakukan kerja semaian itu kerana permintaannya sangat tinggi.
“Anak-anak pokok balak yang ditenggelami banjir saya masih biarkan di dalam beg plastik dan saya hanya mencuci lumpur yang melekat pada daun dan beg plastiknya sahaja.
“Jika dialih sekalipun ia tetap mati jadi lebih baik pokok itu dibiarkan hingga bulan April depan bagi menentukan tahap pokok berkenaan kerana melalui pengalaman pokok-pokok yang ditenggelami banjir akan rosak dan mati,” katanya.
Tijah berkata, dalam masa sama dia tetap meneruskan aktiviti menanam anak-anak pokok balak yang baru bagi menggantikan anak pokok balak yang rosak akibat kejadian banjir bulan lalu.
Menurutnya, anak pokok balak yang disemai akan melalui proses perpeluhan selama dua bulan pada musim kemarau dan sebulan pada musim hujan.
Menceritakan keadaan banjir Disember lalu Tijah berkata, melihat kepada paras air di laluan utama apabila hujan turun dengan lebat, dia sudah menjangka rumahnya kali ini turut terkesan akibat banjir.
Katanya, air naik mendadak dan sememangnya dia tidak akan sempat mengalihkan anak pokok yang disemainya kerana jumlahnya yang banyak dan amat mustahil untuk dikendalikan apabila tibanya banjir.
Menurutnya, pengalaman dua kali berdepan banjir sejak hampir 70 tahun membesar di kampung itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus mengusahakan tapak semaian berkenaan yang merupakan mata pencariannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd