am@hmetro.com.my
Lumut: Pelanggan serta pekerja sebuah restoran makanan segera di Jalan Haji Mohd Ali, Sitiawan, di sini tergamam apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) merempuh masuk ke dalam restoran berkenaan, malam ini.
Dalam kejadian 9.09 malam itu MPV Volvo berkenaan melanggar dinding kaca restoran makanan segera itu mengakibatkan seorang wanita warga emas cedera.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, warga emas berusia 70-an itu tersepit di bahagian bawah MPV berkenaan.
Katanya, MPV dipercayai terbabas dan melanggar pintu kaca restoran menyebabkan wanita warga emas tersepit.
“Sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung ke lokasi membantu pihak pasukan perubatan.
“Operasi tamat sepenuhnya jam 9.49 malam,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, tular beberapa video memaparkan situasi di tempat kejadian yang terletak sangat hampir dengan persimpangan lampu isyarat antara Jalan Lumut dan Jalan Haji Mohd Ali di Sitiawan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd