Warga emas dera kucing, seret guna sauk ikan

Warga emas dera kucing, seret guna sauk ikan


KUALA LUMPUR – Polis menyiasat dakwaan seorang warga emas disyaki mendera seekor kucing dengan mengheret binatang itu menggunakan sauk ikan kira-kira 200 meter di Flat Pandan Jaya dekat sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkaya, pada 1 November lalu, pihaknya menerima aduan seorang wanita yang terdengar bunyi kucing bising di luar rumahnya.

“Kemudian pengadu melihat ada seorang lelaki berbangsa Cina berumur 60-an yang merupakan jiran pengadu sedang mendera seekor kucing dengan memasukkan kucing tersebut ke dalam jaring besar.

“Pengadu juga nampak lelaki tersebut mengheret kucing dari tingkat rumah pengadu sehingga ke bawah flat tersebut.

“Kemudian pengadu dan suami pengadu telah turun dan ikut lelaki tersebut dan beberapa orang penduduk telah cuba menasihatkan lelaki itu supaya melepaskan semula kucing yang berada di dalam jaring tersebut.

“Lelaki tersebut berbuat demikian kerana kucing itu selalu berak di hadapan rumahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Azam, kertas siasatan telah dibuka bagi siasatan lanjut ekoran sebuah video berkenaan kes ini telah ditularkan di laman media sosial.

Kes disiasat bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan, Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan yang merujuk kepada khianat ke atas binatang serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia.

Hukuman bagi Seksyen 428 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua- duanya sekali.

Hukuman bagi Sek 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000.

“Pihak polis memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa apa perbuatan melakukan penganiayaan terhadap mana-mana haiwan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL





Source link

OR

Scroll to Top