am@hmetro.com.my
Seremban: Lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu lelaki tirinya yang berusia tiga tahun.
Tertuduh yang berusia 64 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap seorang kanak-kanak.
Perbuatan itu dilakukan antara jam 7 pagi hingga 10 pagi di sebuah rumah di Taman Gadong Indah, Labu, Nilai, antara Oktober hingga November tahun
Oleh itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika disabitkan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni memohon jaminan RM20,000 dengan tiga syarat tambahan dan mengesahkan tertuduh adalah datuk tiri kepada mangsa.
Peguam Mohd Hanif Hassan merayu anak guamnya dijamin dengan jumlah yang minimum kerana tertuduh mengalami sakit slipped disc, asma dan saraf yang kronik selain menghidap lumpuh yang ringan.
Tambahnya, anak guamnya tidak bekerja dengan bergantung harap kepada sumbangan anak, namun menanggung isteri yang menghidap penyakit tiga serangkai, seorang anak dan seorang ibu yang sudah uzur berusia 80-an.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM16,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu saksi dan melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Mac depan bagi serahan dokumen.
© New Straits Times Press (M) Bhd






