am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Seorang jurukimpal warga India dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol tanpa kebenaran sah di sebuah kilang di Bedong, bulan lalu.
Mohd Haseen, 38, bagaimanapun tidak memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki sepucuk pistol jenama Sig Sauer berwarna hitam tanpa kelulusan sah di pejabat sebuah kilang berkenaan kira-kira jam 6.45 petang pada 13 November lalu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 7 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes, selain mengarahkan seorang jurubahasa Hindi dilantik bagi membantu tertuduh memahami prosiding.
Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Alex Pang Tak Fatt, manakala tertuduh diwakili peguam Savinder Singh.
Sebelum ini, media melaporkan polis menahan lelaki warga India selepas menemui kelopak peluru dan dua butir peluru dalam serbuan di asrama sebuah kilang memproses mi di Jalan Semeling, Bedong, pada 11 November lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata pemeriksaan menemui kotak biru berisi kelopak peluru dan peluru di dalam bilik asrama tertuduh kira-kira jam 12.45 tengah malam oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
© New Straits Times Press (M) Bhd






