MELAKA: Kegiatan seorang transporter warga Indonesia menyeludup keluar bekalan dadah ke negara jiran melalui laluan laut tumpas selepas diberkas di pesisir pantai berhampiran Kota Syahbandar di sini, kelmarin.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek lelaki berusia 40 tahun itu diberkas kira-kira pukul 5.50 pagi bersama lima kilogram syabu yang dibawa dalam sebuah beg galas.
Kata beliau, tangkapan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.
“Suspek disyaki melakukan kegiatan itu sejak pertengahan bulan lalu menggunakan laluan laut. Suspek mengaku dadah tersebut adalah untuk pasaran negara jiran.
“Ketika serbuan suspek membawa lima peket lutsinar dadah disyaki syabu seberat 5,053 gram yang dianggarkan bernilai RM161,696. Jumlah rampasan dadah tersebut boleh digunakan seramai 25,265 penagih,” katanya.
Tambah Zainol, suspek mengaku bahawa bekalan berkenaan diperoleh dari selatan Thailand.
“Saringan ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tiada rekod lampau. Suspek direman selama tujuh hari sehingga 3 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Sabit kesalahan suspek boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 15 sebatan,” ujarnya. – UTUSAN