am@hmetro.com.my
Kepala Batas: Seorang lelaki warga Indonesia meninggal dunia ketika dalam tahanan malam kelmarin selepas ditahan kerana berkelakuan agresif dan menyerang seorang anggota polis di Taman Bukit Jambul di sini.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kira-kira jam 6.20 petang hari sama, polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai seorang lelaki yang berkelakuan agresif sambil mengacukan besi di sebuah kawasan perumahan.
Katanya, sebaik tiba, anggota polis berhadapan dengan suspek yang serta-merta menjadi ganas.
“Dalam pergelutan, suspek didakwa menumbuk muka salah seorang anggota polis yang tiba di lokasi kejadian.
“Penduduk berhampiran yang menyaksikan pergelutan itu, membantu polis menahan dan menundukkan lelaki berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis ringkas pelupusan dadah yang dirampas oleh kontinjen polis negeri antara 2010 dan tahun lalu, yang bernilai kira-kira RM2 juta, hari ini.
Beliau berkata, suspek dibawa ke Balai Polis Sungai Nibong untuk tindakan lanjut, bagaimanapun ketika dalam tahanan, dia tiba-tiba pengsan.
“Mangsa dikejarkan ke hospital berhampiran namun disahkan meninggal dunia sejurus tiba.
“Punca kematian disahkan akibat serangan jantung dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Alwi berkata, dua laporan berasingan dibuat terhadap suspek, iaitu berkaitan tindakan suspek memecahkan cermin kereta seorang penduduk dan pencerobohan tanpa izin ke dalam unit flat penduduk.
“Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti identiti si mati dan sama ada dia menetap di kawasan terbabit,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd