surayaroslan@mediaprima.com.my
Sepang: Penulis bebas warga United Kingdom didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, kerana memasuki kawasan larangan tanpa pas yang sah di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jumaat lalu.
Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan membuat keputusan itu selepas tertuduh yang juga guru bahasa Inggeris, Polak Kendon, 57, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya.
“I do (guilty),” katanya.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati masuk ke dalam tempat larangan tanpa menggunakan satu pas yang sah di pintu C aras 5 pelepasan antarabangsa Terminal 1 KLIA, di sini, antara 8.46 malam sehingga 8.47 malam, 10 Januari lalu.
Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 7 akta sama yang memperuntukkan maksimum penjara dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, lelaki itu yang juga penumpang keluar dari kawasan Airside Terminal menyatakan ingin ke kaunter Ethiopian Airlines dan ingin kembali ke arah E-Gate (EZPAZZ) tanpa mengimbas pas masuk.
Tertuduh memanjat E-Gate itu dan merempuh masuk apabila kakinya tersepit menyebabkan polis bantuan memaklumkan kepada Pusat Operasi Keselamatan sebelum pegawai penyiasat menahan lelaki itu keesokan harinya.
Terdahulu, peguam, Muhammad Aidil Akmal Sharidan yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda ringan atau bon berkelakuan baik terhadap anak guamnya.
“Anak guam terbang dari Perth (Australia) ke Kuala Lumpur dan transit selama dua hari di sebuah hotel di sini, 8 Januari lalu.
“Pada 10 Januari, anak guam melakukan ‘self check-in’ di kaunter Ethiopian Airlines bersama pasport yang sah untuk masuk ke kawasan ‘land side’ (kawasan terbuka) ke ‘air side’ (kawasan larangan)’,” katanya.
Menurutnya, semasa di airside, anak guam dimaklumkan tidak dapat memasuki Plaza Premium Lounge berikutan tiada pas masuk ke kawasan itu dan keluar dari kawasan itu memandangkan tertuduh akan terbang pulang ke Addis Ababa.
“Saya percaya berlaku salah faham antara polis bantuan dan anak guam, mohon mahkamah mengambil kira tertuduh yang kerap ke Malaysia, sayang Malaysia dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah di negara ini,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Nur ‘Ain Madihah Zulkifli memohon satu hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh.
tamat
© New Straits Times Press (M) Bhd