Wartawan MPB rangkul anugerah di AMJ 2025

Wartawan MPB rangkul anugerah di AMJ 2025


am@hmetro.com.my

Johor Bahru : Empat laporan berita terbitan Media Prima Berhad (MPB) berjaya merangkul kemenangan dalam empat kategori pada Anugerah Media Johor (AMJ) 2025 yang berlangsung meriah, malam tadi.

Pada majlis anugerah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, wartawan New Straits Times (NST), Jassmine S Shadiqe memenangi Anugerah Berita Bahasa Inggeris Terbaik.

Bagi laporan berita bertajuk ‘MB : Star Aligned in Johor’s Favour’ yang juga calon tunggal anugerah itu bagi kategori media cetak membolehkan Jassmine membawa pulang wang kemenangan RM2,000 berserta piala iringan.

Sementara itu, wartawan sambilan Media Prima Television Networks (TVN), Raja Nurul Antasha Raja Zaman bersama jurukamera Kama Azam Abdul Karim dan Mohd Azizi Abd Majid bersama jurukamera Ismail Osman masing-masing membawa pulang anugerah bagi kategori televisyen (TV).

Laporan ‘Lebih 150 Tan Sampah Terdampar di Pantai Mersing’ oleh Raja Nurul Antasha dan Kama Azam diangkat sebagai Laporan Berita TV Terbaik, manakala pertaruhan Mohd Azizi dan Ismail dengan laporan mengenai isu gangguan monyet liar diangkat sebagai Laporan Khas TV Terbaik.

Dengan kemenangan itu, mereka masing-masing menerima wang RM2,000 berserta piala iringan.

Pada masa sama, wartawan sambilan New Straits Times Press (NSTP), Izlaily Nurul Ain Hussein membawa pulang wang RM500 berserta piala apabila laporan ‘Pejabat, Rumah dalam Kapal’ yang diterbitkan dalam akhbar Berita Harian (BH) memenangi hadiah sagu hati bagi Anugerah Rencana Terbaik kategori media cetak.

Majlis anugerah anjuran Kerajaan Negeri Johor dan Kelab Media Johor (KMJ) itu kembali diadakan tahun ini selepas enam tahun ‘berehat’ dan malam tadi, ia disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin dan Presiden KMJ merangkap Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM), Mohamad Fauzi Ishak.

AMJ 2025 menjadi platform signifikan untuk mengiktiraf dan menghargai kecemerlangan pengamal media khususnya di negeri Johor.

Majlis itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Khas Media Johor kepada empat penerima yang juga bekas pengamal media di Johor iaitu Surahati Abu Hassan, Rizal Abdullah, Low Sock Ken dan mendiang Raman Raju @ Kalamaru.

AMJ 2025 menyaksikan penyertaan sebanyak 296 karya daripada pelbagai agensi media tempatan, termasuk media cetak, televisyen dan radio.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top