Waspada 'gigitan' Penyu

Waspada 'gigitan' Penyu


sukan@hmetro.com.my

Seremban: Barisan pemain Negeri Sembilan FC (NSFC) diingatkan supaya sentiasa bersikap berwaspada ketika turun melayani kunjungan Terengganu FC dalam pertembungan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, petang esok.

Ingatan itu dilontarkan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) merangkap Ahli Lembaga Pengarah NSFC, Datuk Mustapha Nagoor, menjelang pertembungan kedua-dua pasukan dalam aksi kesembilan liga musim ini.

Beliau mahu skuad Hobin Jang Hobin menggunakan peluang dan kesempatan terbaik beraksi di laman sendiri bagi mendapatkan tiga mata sekali gus meraih kemenangan keempat liga musim ini.

“Pemain Negeri Sembilan perlu berhati-hati dengan tidak mengambil mudah pertembungan dengan Terengganu, esok, apa lagi dengan hasrat pasukan lawan itu untuk mempamerkan kebangkitan selepas prestasi mereka yang dilihat merudum dalam beberapa perlawanan liga dan Piala FA yang lalu.

“Pasukan dari Pantai Timur itu sudah pasti akan turun dengan sepenuh kekuatan untuk mendapatkan kemenangan dan menyelamatkan kedudukan ketua jurulatih mereka yang dilaporkan diberikan kata dua oleh pihak pengurusan kelab.

“Untuk itu, pemain Negeri Sembilan perlu mengekalkan fokus mereka dan berusaha mempamerkan persembahan terbaik sepanjang tempoh 90 minit perlawanan bagi menterjemahkan kemenangan di laman sendiri,” kata Mustapha yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, ketika ditemui, hari ini.

Mustapha yakin ketua jurulatih, Nidzam Jamil serta barisan kejurulatihan yang lain sudah membuat perancangan rapi termasuk mengenal pasti pemain yang akan diturunkan bagi menghadapi skuad Penyu, yang merupakan antara pencabar terkuat dalam saingan Liga Super.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top