KONTROVERSI program motivasi eHATI yang tular baru-baru ini menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.
Program yang pada awalnya dilihat sebagai platform pemulihan emosi dan pembangunan diri bagi wanita, kini didakwa menyelitkan elemen meragukan seperti terapi seksual dan ritual asing, mempromosi ‘self-love’ dan masturbasi, percampuran lelaki dan perempuan, menggunakan elemen meditasi agama lain dan sebagainya.
Isu ini mendapat perhatian serius daripada institusi dan tokoh agama, termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mufti Wilayah Persekutuan, Mufti Terengganu dan lain-lain.
Pada hemat penulis, melihat kepada ramainya peserta terlibat dengan program yang dilihat menyimpang ini, maka menjadi keperluan untuk diketengahkan garis panduan umum untuk peserta dalam memilih dan menyertai program-program motivasi.
Kita yakin bahawa setiap peserta mempunyai niat murni antaranya untuk memperbaiki diri, keluarga atau kehidupan.
Namun niat baik sahaja tanpa sebarang panduan boleh membuka ruang kepada pengaruh sesat, eksploitasi dan penipuan.
**media[3252708]**
Di sini, penulis mencadangkan beberapa garis panduan melibatkan tiga peringkat utama, iaitu sebelum, semasa dan selepas program:
Sebelum program: Selidik latar belakang penganjur dan kandungan program terlebih dahulu
Sebelum mendaftar, peserta perlu menyelidik latar belakang penganjur. Adakah mereka bertauliah, berdaftar atau mempunyai sokongan pakar psikologi, kaunselor berdaftar dan penasihat syariah?
Kandungan program juga perlu diteliti. Gunakan pengetahuan asas agama iaitu akidah dan syariat sebagai asas pertimbangan. Peserta perlu berwaspada dengan elemen-elemen mengelirukan.
Semakan boleh dilakukan melalui platform rasmi seperti Lembaga Kaunselor Malaysia atau melalui carian umum di internet, media sosial, portal berita dan seumpamanya untuk mendapatkan perincian, maklum balas dan komentar tentang penganjur, penceramah dan program yang dipromosikan.
Sekiranya maklumat yang diperolehi meragukan, maka jangan mendaftar. Ini bertepatan dengan hadis Nabi S.A.W yang bermaksud:
“Tinggallah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi).
Semasa program: Menilai kandungan dan penyampai, tahu Batas dan hak
Peserta perlu cakna tentang isi kandungan dan kaedah penyampaian program yang disertai.
Peserta berhak menarik diri jika terdapat elemen yang mencurigakan seperti mendedahkan aurat, elemen spiritual atau meditasi berunsur agama lain, percampuran lelaki dan wanita, atau pendekatan yang berunsurkan exploitasi seksual perlu ditolak secara tegas.
Sehubungan itu, peserta juga dinasihatkan mendapatkan bukti bertulis, rakaman audio atau video sebagai bahan bukti untuk tindakan lanjut.
Ringkasnya, jangan mengikut secara membabi buta. Segala maklumat yang dikongsi dalam program yang disertai perlu diselidiki.
Hal ini bertepatan dengan kaedah yang dianjurkan al-Quran: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya.” (Surah al-Hujurat: 6).
**media[3252709]**
Peserta berhak menarik diri dari meneruskan program tersebut sekiranya terdapat perkara yang diluar batas syarak. Tiada sebab untuk peserta berdiam diri jika terdapat amalan yang menyimpang.
Selepas Program: Membuat Penilaian Susulan, Berkongsi dengan Orang Terdekat atau Melaporkan kepada Pihak Berautoriti
Jika merasa keliru, terkesan secara emosi, merasa ragu dengan pengisian program atau mendapati berlaku pelanggaran terhadap prinsip akidah atau hukum, peserta mesti berkongsi dengan orang terdekat seperti pasangan dan mendapatkan nasihat pakar seperti kaunselor bertauliah atau ahli agama.
Sekiranya terdapat pelanggaran hukum yang nyata atau unsur penipuan, eksploitasi, jenayah dan sebagainya, peserta perlu membuat aduan kepada pihak berautoriti seperti Jabatan Agama Islam Negeri, JAKIM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain.
Tindakan ini selari dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Barang siapa antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman”. (Hadis Riwayat Muslim).
Berdiam diri bukanlah satu penyelesaian. Hal ini kerana, kesan jangka panjang program yang menyimpang bukan sahaja merosakkan diri individu, tetapi juga membawa impak besar kepada masyarakat dan agama.
Sebagai penutup, penulis berpendapat sudah tiba masanya institusi agama tampil bukan sekadar memberi teguran selepas insiden berlaku, tetapi juga menyediakan senarai motivator sah, modul yang diiktiraf, serta menyebarkan secara meluas garis panduan program pembangunan diri yang selari dengan syariat supaya boleh dirujuk oleh semua lapisan masyarakat.
Umat Islam pula perlu sedar bahawa jalan pemulihan sebenar bukan melalui ritual asing atau motivasi bebas nilai, tetapi melalui bimbingan wahyu dan pakar yang amanah. Pilihlah jalan yang benar, bukan yang mempesonakan tapi memusnahkan.
***DR MOHD ARUBI ISMAIL merupakan Pensyarah Kolej PERMATA Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)