Watkins lepas kemarahan, bantu Villa belasah Newcastle

Watkins lepas kemarahan, bantu Villa belasah Newcastle


Birmingham: Ollie Watkins menghantar mesej jelas buat pengurus Aston Villa, Unai Emery bahawa dia mahu diturunkan sebagai kesebelasan utama dalam perlawanan-perlawanan besar.

Penyerang itu mengakui bahawa dia berasa “sangat kecewa” kerana hanya dimasukkan sebagai pemain gantian dalam kedua-dua perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) menentang Paris Saint-Germain.

Namun, Watkins berjaya menyalurkan kekecewaannya dengan sempurna dalam aksi menentang Newcastle, apabila menjaringkan gol seawal minit pertama dan mencipta satu bantuan jaringan untuk membantu pasukannya mencatat kemenangan 4-1.

Jaringan turut menyaksikan Watkins kini menyamai rekod penjaring terbanyak Aston Villa dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 74 gol setanding dengan legenda kelab, Gabriel Agbonlahor.

Walaupun mencatat pencapaian mengagumkan itu, Watkins hanya memulakan dua daripada enam perlawanan terakhir kelab, sesuatu yang nyata tidak menggembirakannya.

Pemain pinjaman dari Manchester United, Marcus Rashford, memulakan aksi timbal balik Liga Juara-Juara (UCL) menentang PSG pada hari Selasa, manakala Watkins hanya dimasukkan pada separuh masa kedua ketika Villa tersingkir daripada kejohanan.

“Saya hanya bermain 20 minit menentang PSG dalam kedua-dua perlawanan. Saya tidak berbohong saya memang berasa marah kerana tidak diturunkan.

“Saya sudah maklumkan kepada beliau (Emery) tentang perkara itu. Dia pengurus, dan kita perlu hormati keputusannya, (tetapi) saya bukan jenis pemain yang selesa duduk di bangku simpanan.

“Ini pengalaman baharu buat saya, tidak dapat bermain di pentas terbesar. Saya mahu berada di atas padang lebih lama. Saya memainkan peranan besar untuk membawa pasukan ke tahap ini dan saya mahu bermain dalam perlawanan-perlawanan seperti itu,” kata Watkins.

Apabila ditanya mengenai kenyataan Watkins itu, Unai Emery membalas: “Bagus jika dia marah, dan lebih bagus lagi apabila dia bermain seperti yang dia tunjukkan (menentang Newcastle),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top