PENGERUSI baharu Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Ahmad Shapawi Ahmad mempunyai misi besar bagi memacu organisasi itu ke tahap yang lebih tinggi dan dinamik.
Beliau mahu mengubah dimensi yayasan itu kepada skop yang lebih luas merentasi kejayaan bekas atlet dalam bidang lain selepas bersara daripada dunia sukan.
“Kami akan berusaha untuk mewujudkan peluang pekerjaan serta memberi pendedahan kepada mereka tentang kejayaan yang boleh dicapai dalam kehidupan selepas sukan.
“Kami juga merancang untuk memperluaskan ruang operasi organisasi ini dengan melibatkan lebih banyak ahli yang berpengalaman bagi membantu bekas atlet negara dalam menjalani kehidupan yang lebih baik.
“Saya percaya bahawa organisasi ini akan terus berkembang mengikut matlamat penubuhannya, bukan untuk memenuhi kepentingan peribadi, tetapi demi kepentingan negara,” katanya.
Ahmad Shapawi pada Sabtu secara rasmi dilantik untuk menggantikan Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed yang telah menerajui YAKEB sejak 2019.
Ahmad Shapawi pada Sabtu secara rasmi dilantik untuk menerajui YAKEB.
Bekas ketua pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu akan dibantu oleh tujuh ahli lembaga pengarah YAKEB yang terdiri daripada pegawai kementerian serta bekas atlet kebangsaan untuk penggal 2025-2027.
Ahmad Shapawi menjelaskan bahawa satu unit khas akan diwujudkan di peringkat negeri bagi menjadi wakil organisasi dalam menggerakkan usaha serta gerak kerja yang lebih sistematik.
“Menerusi unit ini, kami berharap kesinambungan dalam hubungan antara organisasi dan atlet negara dapat dikekalkan.
“Saya yakin organisasi ini akan terus digerakkan oleh ahli-ahlinya sendiri dan kita perlu memastikan bahawa ia berkembang dengan baik,” katanya.
Sebagai rekod YAKEB mempunyai lebih 3,000 ahli di seluruh negara dengan syarat penyertaan keahlian ialah pernah mewakili negara pada Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN.
Inisiatif bantuan yang disediakan organisasi itu termasuk khidmat kesihatan, rawatan serta bantuan bencana alam.