bisnes@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Platform pelaburan digital global, Webull terus memperkukuh kehadirannya di Malaysia dengan menawarkan akses pelaburan global kos rendah, ciri keselamatan dipertingkat serta kandungan dalam Bahasa Melayu bagi memudahkan pengguna tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Webull Securities Malaysia, Kenneth Chan berkata, syarikat itu memberi penekanan kepada keperluan pasaran tempatan termasuk penggunaan bahasa, faktor keselamatan serta kefahaman pelabur terhadap pasaran kewangan.
“Kami antara aplikasi pelaburan pertama di Malaysia yang menyediakan kandungan termasuk berita dan maklumat dalam Bahasa Melayu bagi memudahkan pengguna tempatan memahami pelaburan.
“Kami percaya akses kepada maklumat dalam bahasa tempatan penting bagi meningkatkan keyakinan pelabur baharu,” katanya.
Menurutnya, pendekatan itu selari dengan usaha syarikat meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia selain membantu pelabur memulakan perjalanan pelaburan dengan lebih mudah.
“Kami mahu menurunkan halangan untuk melabur supaya lebih ramai rakyat Malaysia boleh mula melabur dengan kos lebih rendah serta akses pasaran lebih luas.
“Pada masa sama, kami menyediakan data pasaran masa nyata supaya pelabur boleh membuat keputusan lebih tepat,” katanya.
Beliau berkata, aspek keselamatan dan perlindungan data pengguna menjadi keutamaan syarikat susulan peningkatan penggunaan aplikasi kewangan digital ketika ini.
“Keselamatan adalah keutamaan kerana kepercayaan pengguna sangat penting dalam ekosistem pelaburan digital.
“Kami sentiasa menambah baik sistem perlindungan bagi memastikan pengalaman pelaburan yang selamat,” katanya.
Kenneth berkata, Webull turut menyediakan bahan pendidikan pelaburan, teknologi sokongan serta akses pasaran global termasuk Amerika Syarikat, Hong Kong, China dan Malaysia melalui satu platform.
“Kami mahu membantu rakyat Malaysia memahami pelaburan global dan meningkatkan literasi kewangan.
“Majoriti pengguna kami juga terdiri daripada golongan muda yang semakin berminat mengurus kewangan secara digital,” katanya.
Menurutnya, syarikat akan terus menambah baik ciri aplikasi serta memperluas perkhidmatan selaras perkembangan teknologi kewangan global dan keperluan pelabur tempatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






