mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: “Saya bukan nak ungkit…cari pasal, saya bukan jenis itu.
“Tetapi kerana kesucian nama seorang jahil seperti Wee Ka Siong ini, saya pertahankan sampai ke kiamat,” kata Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Wee mengungkapkan kata-kata itu ketika memohon kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul supaya menasihatkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menuduhnya mengeluarkan kenyataan salah mengenai kos pembangunan Pangkalan Data Utama (Padu) berjumlah RM85 juta ketika sesi Penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 Peringkat Dasar bagi kementeriannya malam tadi.
Susulan itu, tengah hari ini, Wee dilihat bangun mencelah sebelum sesi sama bermula dengan menggunakan Peraturan Mesyuarat 36 (12) berikutan mahu membersihkan namanya.
“Di hadapan Tan Sri (Johari), Menteri Ekonomi kata saya gunakan data yang tak betul…tak benar, saya semalam sebelum tidur saya rujuk banyak kali.
“Konotasi ialah saya berbohong tetapi apabila Menteri (Rafizi) menjawab saya terus buka handphone, saya tengok internet terus keluar kenyataan ini angka kos pembangunan Padu RM85 juta sebenarnya jawapan Menteri Ekonomi yang berucap semalam kepada Yang Berhormat (YB) Rantau Panjang dan salah satu Ahli Parlimen Bakri juga disebut.
“Saya terus pergi ke tempat beliau, saya kata not fair to me (tidak adil kepada saya) sebab data yang kamu bekalkan kepada Ahli Parlimen dan dipetik oleh seorang insan bernama Wee Ka Siong, tak akan kenyataan penyata rasmi dalam Dewan (Rakyat) ini pun saya silap?” katanya.
Katanya, dia turut meminta penjelasan kepada Rafizi mengapa memberikan jawapan sebegitu, Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa, pegawai beliau yang menyediakan maklumat itu, malah angka itu turut dilaporkan media arus perdana dan beberapa portal.
“Saya minta supaya Menteri (Rafizi) kalau beliau masih berpegang kepada RM85 juta sebagai satu angka rasmi, maka beliau kenalah lakukan sesuatu tarik balik tuduhan beliau terhadap saya semalam.
“Kedua kalaulah benar pegawai dia beri tanpa persetujuan beliau sepertimana dia beritahu saya, dia kena buat penerangan Menteri di sini beritahu Tan Sri Speaker jawapan saya kepada sesiapa ini sepatutnya dibetulkan bukannya RM85 juta.
“Dan pergi balik pun dosanya tidak sepatutnya ditanggung oleh Wee Ka Siong, jadi saya minta dalam kes ini saya tak kira siapa pembangkang ke kerajaan, saya tegur kerana saya sudah 20 tahun duduk dalam dewan ini.
“Saya nak kemuliaan Dewan ini jangan nama saya tercalar esok saya pencen cucu cicit saya akan persoalkan saya kerana tak membersihkan nama,” katanya.
Di akhir penjelasan itu, Wee meminta kebijaksanaan Johari yang turut menjadi saksi insiden malam tadi untuk menasihati Rafizi dan menyelesaikan perkara terbabit dengan sebaik mungkin.
“Saya minta Tan Sri Speaker tolong sebagai orang paling dihormati, beritahu menteri ini saya tak boleh buat apa, saya dah cakap dengan dia tetap dia tak ada tindakan saya cuma minta dia lakukan tindakan buat penerangan di sini atau tarik balik apa dia cakap semalam itu saja (tetapi) dia suruh kita jawab di TikTok, yalah kita terpaksa apa nak buat,” katanya.
Kemudian, Johari memberi dua pilihan kepada Wee iaitu menulis surat kepada beliau dengan memasukkan usul meminta Rafizi membetulkan keadaan atau apakah kemahuan Wee sama ada mahu Rafizi memperbetulkan fakta mahupun meminta maaf kepadanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd