Wei Chong-Kai Wun gagal melangkah ke pentas akhir Terbuka Malaysia sebentar tadi. Foto BAM
TUAH tidak memihak beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tan Kai Wun setelah gagal melangkah ke pentas akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 sebentar tadi.
Pujian bagaimanapun wajar diberikan kepada pasangan ke-14 dunia itu apabila memaksa Chen Bo Yang-Liu Yi bekerja keras sehingga ke set penentuan dalam aksi di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Biarpun ditentang sengit pasangan China itu, namun gegak gempita ribuan penyokong membantu pasangan negara bermula positif apabila menang 26-24.
Langkah kanan gandingan negara bagaimanapun gagal diteruskan apabila kalah permainan kedua 16-21 untuk melanjutkan aksi ke set penentuan.
Debaran kian terasa apabila kedua-dua pasangan meningkatkan gear permainan, namun tuah tidak memihak Wei Chong-Kai Wun.
Mereka terpaksa akur tewas 15-21 dalam tempoh 77 minit permainan.
Menanti gandingan China itu dalam aksi final pada Ahad ialah Kim Won-ho dan Seo Seung-jae.
Pasangan Korea Selatan itu mara ke final selepas mengalahkan wakil India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 21-10, 21-15 dalam satu lagi aksi separuh akhir.