aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, terus mempamerkan prestasi cemerlang apabila mara ke separuh akhir Terbuka Hylo 2025 selepas menewaskan gandingan Indonesia, Fajar Alfian–Muhammad Shohibul Fikri, dalam pertarungan sengit di Arena Tertutup Saarlandhalle, malam tadi.
Perlawanan suku akhir yang juga pertemuan pertama antara kedua-dua pasangan itu menyaksikan aksi penuh mendebarkan apabila Wei Chong–Kai Wun berjaya menundukkan lawan mereka 26-24, 21-19 dalam masa 44 minit permainan.
Set pertama berlangsung sengit apabila kedua-dua pasangan saling berbalas mata hingga ke penghujung saingan dengan kedudukan sebelum wakil negara menamatkan set tersebut 26-24 hasil ketenangan di saat genting.
Momentum itu dibawa ke set kedua apabila Wei Chong-Kai Wun tampil lebih agresif di jaring dan tenang dalam pertukaran pukulan panjang untuk memastikan kemenangan 21-19 bagi menutup perlawanan dengan kemenangan straight set.
Kemenangan itu bukan sahaja memastikan kemaraan mereka ke separuh akhir, malah menjadi suntikan semangat besar buat beregu muda negara yang kini menduduki ranking kelima dunia dan sedang memburu gelaran ketiga musim ini selepas menjuarai Indonesia Masters dan Malaysia Masters.
Wei Chong–Kai Wun sebelum ini menunjukkan konsistensi tinggi sepanjang musim apabila beberapa kali menyingkirkan pasangan pilihan dunia, sekali gus memperkukuh reputasi mereka sebagai antara beregu paling menyerlah dalam Jelajah Dunia BWF.
© New Straits Times Press (M) Bhd






