KUALA LUMPUR: Pasangan beregu negara Man Wei Chong-Tee Kai Woon sekali lagi terlepas ke saingan kompetitif selepas disahkan terpaksa berehat panjang ekoran masalah kecederaan.
Ketua jurulatih beregu lelaki, Herry Iman Pierngadi berkata, kecederaan lutut dialami Wei Chong memerlukan pemain itu berehat lebih lama, walaupun menjalani latihan seperti biasa.
“Kaki dia masih belum sembuh lagi, akan tetapi dia menjalani latihan seperti biasa. Wei Chong buat rutin setiap hari dan kadang-kadang dia pergi jumpa doktor untuk kawal masalah kecederaan yang dialaminya.
“Tetapi untuk sementara waktu dia memang belum bersedia untuk bermain. Jadi, Wei Chong-Kai Wun akan terlepas Terbuka Singapura dan juga Terbuka Indonesia,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai status terkini beregu kedua negara itu.
Memandangkan Terbuka Singapura yang berstatus Super 750 manakala Terbuka Indonesia berstatus Super 1,000, kedua-dua kejohanan itu memberikan kutipan mata ranking yang banyak dan yang pasti Wei Chong-Kai Wun bakal berdepan penurunan ranking selepas ini.
Menurut pengendali kelahiran Indonesia itu, pihaknya akan mendapatkan pandangan doktor terlebih dahulu mengenai tempoh Wei Chong bersedia kembali ke gelanggang pertandingan.
Bagaimanapun, beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah akan tampil pada Terbuka Singapura dan pasangan ke-26 dunia, Hu Ling Fang-Jheng Yu Chieh dari Taiwan menanti mereka dalam aksi pembukaan.
Selain Pearly-Thinaah, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menuju ke Terbuka Singapura dengan harapan untuk menebus duka Malaysia Masters selepas terkandas di separuh akhir.
“Fokus kami memang kepada kejohanan utama, harap pada Terbuka Singapura permainan kami akan lebih konsisten,” kata Aaron.
Aaron-Wooi Yik bakal mengharungi ujian getir seawal peringkat 32 terbaik menentang pasangan adik beradik Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov yang menghuni ranking ke-20 dunia.
Saingan eregu campuran menemukan juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menentang rakan senegara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing pada pusingan awal manakala dalam perseorangan, K. Letshanaa bakal membuat penampilan sulung sementara Leong Jun Hao serta Justin Hoh turut akan beraksi. – UTUSAN





