Wei Xiang teruskan momentum kemenangan di Ipoh

Wei Xiang teruskan momentum kemenangan di Ipoh


PEMAIN perseorangan lelaki pilihan utama, Kong Wei Xiang dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM), tidak mengecewakan apabila melangkah ke Pusingan 64 Kejohanan Badminton Remaja Kebangsaan Bawah 18 Tahun (B-18) Petronas 2025 di Dewan Akademi Badminton Perak di sini, pada Khamis.

Pemain kelahiran Pulau Pinang yang menyerlah dalam Siri Jelajah Elit Remaja musim lalu itu mempamerkan tekad untuk meneruskan momentum kemenangan.

Dalam aksi Pusingan 128 sebelum ini, pemain berusia 17 tahun itu menundukkan rakan senegerinya, Cavan Tan Kai En, dengan kemenangan straight set 15-6, 15-7.

Pada Khamis, Wei Xiang sekali lagi memperagakan persembahan meyakinkan apabila menewaskan wakil Johor, Chiam Zi Yi, 15-7, 15-4 dalam tempoh 22 minit.

Kejayaan ini mengukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang calon utama untuk merangkul gelaran juara edisi kali ini.

Di Pusingan 64, Wei Xiang bakal berdepan pemain bukan pilihan dari Selangor, Beh Yu Wei, yang kini menunjukkan prestasi membanggakan dengan meraih tiga kemenangan berturut-turut.

Pemain berusia 18 tahun itu mengekalkan momentum positifnya apabila menyingkirkan wakil Johor, Rames Meethiran, juga menerusi straight set 15-6, 15-7.

Sebelum ini, Yu Wei mencipta kejutan dengan menewaskan pemain pilihan dari Perlis, Zubair Izhar, 15-6, 15-9.

Pada Khamis, beliau meneruskan aksi konsistennya apabila menundukkan Amirul Hakimi Ahmad Muslim dari Terengganu 15-10, 15-5.

Sementara itu, seorang lagi pemain Selangor, Arshdip Singh Darshan Singh, turut menunjukkan potensi apabila mengesahkan tempat di Pusingan 32.

Arshdip, yang mendapat bye pada pusingan pertama, mencatatkan kemenangan dramatik ke atas pilihan kedua dari Kedah, Kee Is Qian.

Beliau memenangi set pertama 15-7, namun tewas set kedua 14-16 sebelum bangkit gemilang pada set penentuan 15-13 dalam pertarungan hampir sejam.

Aksi pada Khamis, Arshdip kembali mempamerkan permainan bertenaga apabila menewaskan wakil tuan rumah, Choong Zhuo Hao, dengan straight set 15-7, 15-6.

Bagaimanapun, nasib berbeza dialami Arshdip dalam acara beregu campuran apabila gandingannya bersama Eva Tan Ann Qi terhenti di tangan pasangan dari Pulau Pinang, Tan Hon Xuan-Neoh Rui En.

Arshdip-Eva yang menang set pertama 15-13 gagal mengekalkan momentum tewas kebangkitan Hon Xuan-Rui En, 13-15, 11-15.



Source link

OR

Scroll to Top