London: West Ham United membuat keputusan mengekalkan pengurus, Nuno Espirito Santo meskipun kelab itu tersingkir dari Liga Perdana Inggeris (EPL) pada hari terakhir musim ini, menurut kenyataan kelab hari ini.
West Ham menamatkan saingan di tangga ke-18 liga sekali gus tersingkir ke divisyen kedua, Liga Kejuaraan buat kali pertama sejak 2011.
“Walaupun keputusan Ahad lalu amat menyakitkan, lembaga pengarah percaya ada tanda-tanda peningkatan dan perkembangan positif sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan kami mahu Nuno terus membangunkan kemajuan itu,” menurut kenyataan kelab.
West Ham menutup kempen dengan 19 kekalahan dan 10 kemenangan, dua mata di belakang seteru London, Tottenham Hotspur meskipun menang 3-0 ke atas Leeds United pada aksi terakhir Ahad lalu ketika Spurs menewaskan Everton 1-0 untuk kekal dalam EPL.
Nasib West Ham dilihat semakin sukar apabila mereka tewas tiga perlawanan berturut-turut awal bulan ini kepada Brentford, Arsenal dan Newcastle United sehingga memberi kelebihan kepada Spurs menentukan nasib sendiri pada hari terakhir musim.
Kelab itu memaklumkan mereka mengadakan pertemuan bersama Nuno awal minggu ini dengan pengendali dari Portugal itu menyatakan komitmen penuh terhadap kelab yang disertainya pada September lalu menerusi kontrak tiga tahun selepas pemecatan Graham Potter.
Lembaga pengarah turut menyatakan mereka melihat “peningkatan jelas dari segi mentaliti dan kesatuan pasukan” sejak Januari lalu sekali gus menjadikan Nuno calon terbaik untuk memimpin misi kembali ke EPL musim depan.
“Nuno menjelaskan dia sangat bersemangat untuk membawa West Ham kembali ke liga utama secepat mungkin. Itu mesti menjadi sasaran utama musim depan,” tambah kenyataan itu.
“Nuno pernah mengendalikan satu musim dalam Liga Kejuaraan dan mencipta kejayaan besar apabila mengumpul 99 mata untuk menjulang kejuaraan bersama Wolverhampton Wanderers pada 2018.”
West Ham turut mengumumkan harga tiket bermusim akan dikurangkan sehingga 30 peratus selepas penyingkiran mereka dari EPL.
© New Straits Times Press (M) Bhd





