NORAINI (dua dari kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada Rozini Abdul Rahman (dua, kiri) pada Majlis Perasmian Penutup Women in Halal Industry (WHI) di Menara Dato Onn baru-baru ini. Foto Bernama
HALAL Development Corporation Berhad (HDC) terus memperkasakan golongan wanita sebagai peneraju utama dalam membangunkan ekosistem halal negara melalui pelaksanaan Program Grand Kick-Off Women in Halal Industry (WHI) 2025: Transformasi Wanita di Dalam Industri Halal.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, inisiatif WHI adalah usaha berterusan kerajaan bersama sektor swasta bagi memastikan golongan wanita terus maju sebagai pemimpin, inovator dan peneraju utama dalam industri halal yang kini dianggarkan bernilai lebih AS$3 trilion (RM12.4 trilion) di peringkat global.
“Program WHI ini bersifat menyeluruh daripada peningkatan literasi halal dan keusahawanan sehinggalah kepada pembiayaan dan pensijilan halal. Ia mencerminkan usaha negara untuk membangunkan ekosistem halal yang inklusif, kompetitif dan berpaksikan nilai Islam,” katanya.
Noraini yang juga Peneraju WHI berkata, industri halal kini tidak lagi terhad kepada sektor makanan dan minuman, sebaliknya telah berkembang kepada pelbagai bidang lain seperti farmaseutikal, kosmetik, kewangan Islam, logistik, pelancongan dan fesyen sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada penyertaan wanita.
Justeru katanya, program dua hari itu menyediakan pelbagai sokongan kepada usahawan wanita termasuk latihan pensijilan halal, bimbingan keusahawanan, akses pembiayaan serta pasaran, selain memberi ruang kepada mereka untuk membangun kepimpinan, keyakinan diri dan rangkaian sokongan secara mampan.
Noraini berkata sejak dilancarkan pada Jun lepas, WHI telah menarik lebih 400 penyertaan usahawan wanita bagi siri pertama, dengan 153 peserta dipilih menyertai program tersebut melebihi tiga kali ganda daripada sasaran asal sebanyak 50 penyertaan. – Bernama
Ringkasan AI
- HALAL Development Corporation Berhad terus memperkasakan wanita dalam industri halal melalui Program Grand Kick-Off Women in Halal Industry
- Inisiatif WHI adalah usaha bersama kerajaan dan sektor swasta untuk memajukan wanita sebagai pemimpin dan inovator dalam industri halal global bernilai lebih AS$3 trilion
- Program WHI meliputi peningkatan literasi halal, keusahawanan, pembiayaan, dan pensijilan halal
- Industri halal kini meluas ke bidang farmaseutikal, kosmetik, kewangan Islam, logistik, pelancongan, dan fesyen, menawarkan lebih banyak peluang kepada wanita
- Sejak dilancarkan pada Jun, WHI telah menarik lebih 400 penyertaan usahawan wanita dengan 153 peserta dipilih, melebihi sasaran asal sebanyak 50 penyertaan





