BINTANG remaja sensasi Brazil, Estevao Willian, menutup tirai kariernya bersama Palmeiras dengan penuh emosi selepas pasukannya tewas 1-2 kepada Chelsea pada suku akhir Piala Dunia Kelab di Stadium Lincoln Financial Field, Philadelphia, Pennsylvania.
Pemain sayap berusia 18 tahun itu, yang bakal menyertai Chelsea sebaik tamat temasya, menjaringkan gol penyamaan yang memukau pada minit ke-53, sebelum gol sendiri lewat permainan menyaksikan kelab Liga Perdana Inggeris itu mara ke separuh akhir.
Gol Estevao menjadi bukti keistimewaan bakat yang dimilikinya, yang turut menjelaskan betapa besarnya kehilangan buat Palmeiras selepas ini.
Pemain muda itu memperagakan aksi kelas dunia apabila menerima bola di sebelah kanan kotak penalti, melepasi kawalan Levi Colwill dan meledak rembatan dari sudut sukar sebelum menerjah jaring.
Gol tersebut kembali menyemarakkan semangat penyokong Palmeiras yang terhenti selepas jaringan pembukaan Chelsea menerusi Cole Palmer pada babak pertama.
“Saya gembira dapat menyumbang gol untuk pasukan. Malangnya, bukan keputusan yang kami inginkan, tetapi saya rasa kami sudah memberikan segalanya di atas padang, dan itu paling penting,” kata Estevao yang diumumkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.
Dalam nada sebak, Estevao turut merakamkan penghargaan khusus kepada pengendali Palmeiras, Abel Ferreira, yang disifatkannya sebagai ayah dan antara individu penting dalam pembentukan kariernya.
“Terima kasih, jurulatih, atas segalanya. Beliau mengajar saya untuk bermain secara taktikal, dan itu sangat penting buat perkembangan saya.
“Palmeiras buka banyak pintu buat saya dan saya sangat gembira sepanjang berada di sini. Saya dan keluarga amat berterima kasih kepada kelab, Abel, dan semua rakan sepasukan atas segala sokongan. Saya akan bawa Palmeiras dalam hati selama-lamanya,” ujarnya.
Aksi terakhir Estevao bersama Palmeiras nyata menjadi penutup yang manis dan pahit.
Gol luar biasanya membuktikan mengapa beliau digelar antara prospek terbaik Brazil, namun kekalahan itu mengakhiri kisahnya bersama kelab secara mendukacitakan.
Bagi pengendali Chelsea, Enzo Maresca, yang menyifatkan suasana perlawanan lebih mudah untuk ditafsir berkata: “Gembira kerana kami menang, gembira kerana dia (Estevao) jaring gol, jadi perlawanan ini sempurna.”