Wirtz dalam radar Liverpool, Leverkusen sahkan minat bernilai RM765 Juta

Wirtz dalam radar Liverpool, Leverkusen sahkan minat bernilai RM765 Juta


Berlin: Juara Liga Perdana Inggeris, Liverpool dikatakan menunjukkan minat serius terhadap pemain tengah sensasi Bayer Leverkusen, Florian Wirtz, menurut pengesahan Pengarah Sukan kelab Jerman itu, Simon Rolfes.

Perkara itu dimaklumkan ketika sidang media pengumuman pelantikan bekas pengurus Manchester United, Erik ten Hag sebagai pengganti Xabi Alonso yang kini mengemudi Real Madrid.

“Dia masih pemain kami. Memang banyak minat dari kelab lain dan perkara itu terbuka. Tapi betul, Liverpool memang menunjukkan minat konkrit,” ujar Rolfes.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tiada perjanjian rasmi dimeterai setakat ini, walaupun khabar angin menyebut Wirtz sudah melakukan kunjungan ke Merseyside baru-baru ini.

Wirtz yang berusia 22 tahun dianggap antara bakat paling bernilai di Eropah dan bakal menjadi pembelian rekod Liverpool jika perpindahan itu direalisasikan, dengan nilai dianggarkan mencecah €150 juta (RM765 juta).

Ketua Pegawai Eksekutif Leverkusen, Fernando Carro sebelum ini menegaskan bahawa kelab tidak akan melepaskan pemain terbabit di bawah harga itu, sekali gus menjadikannya antara pemain termahal dunia.

Bayern Munich turut dikaitkan dengan pemain tengah itu, namun laporan media Jerman menyatakan Wirtz lebih cenderung untuk menyertai Liverpool.

Ten Hag yang duduk di sebelah Rolfes memuji kehebatan Wirtz, namun enggan memberi jaminan sama ada beliau akan terus bekerja dengan pemain itu musim depan.

“Dia pemain hebat dan saya suka menyaksikan perkembangannya. Tapi dalam bola sepak profesional, tiada apa yang pasti sehingga 1 September,” kata pengendali dari Belanda itu.

Wirtz menyertai Leverkusen daripada Cologne pada 2020 dan memainkan peranan penting ketika kelab itu merangkul kejuaraan Bundesliga pertama mereka musim 2023-2024, malah turut dinamakan Pemain Terbaik Bundesliga.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top