Wisma Putra semak dakwaan penemuan MyKad di Ukraine

Wisma Putra semak dakwaan penemuan MyKad di Ukraine



mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Luar Negeri sedang mendapatkan pengesahan pihak berkuasa berkaitan susulan tular mengatakan MyKad Malaysia dan lesen memandu Malaysia dijumpai di Levadne, Zaporizhia, Ukraine.

Wisma Putra berkata, buat masa ini, pihaknya tidak dapat mengesahkan kesahihan maklumat itu.

Menurutnya, maklumat itu juga sudah dipanjangkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk pengesahan.

“Kami dengan hormatnya memohon pihak media dan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi.

‘Kami juga ingin menekankan bahawa keselamatan rakyat Malaysia di luar negara adalah tanggungjawab individu masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, walaupun Pejabat Perwakilan Malaysia sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang memerlukan, adalah penting bagi semua rakyat Malaysia untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan diri sendiri.

Terdahulu tular sekeping gambar yang menunjukkan dokumen pengenalan diri MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemui di medan pertempuran antara Ukraine dan Rusia.

Ia didakwa ditemui selepas kejayaan tentera Rusia menawan kubu tentera Ukraine di Levadne, Zaporizhia, Ukraine.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang menyemak kesahihan maklumat terbabit.

“Buat masa ini PDRM sedang menyemak sama ada ia benar atau sebaliknya dan kita juga berhubung dengan Kementerian Luar Negeri bagi mendapatkan maklumat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top