PUTRAJAYA: Wisma Putra giat menjalankan siasatan bagi mengesahkan laporan berhubung kemungkinan seorang rakyat Malaysia menjadi mangsa dalam insiden feri karam di perairan Selat Bali, Indonesia, pada 4 Julai lalu.
Menurut Kementerian Luar Negeri, menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, pihaknya telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa Indonesia bahawa pada peringkat awal, tiada warganegara Malaysia dikenal pasti terlibat dalam kejadian itu.
“Namun, berdasarkan maklumat terkini yang diterima, terdapat kemungkinan seorang rakyat Malaysia termasuk dalam senarai mangsa.
“Justeru, pihak Kedutaan dengan kerjasama Bahagian Konsular Wisma Putra dan pihak berkuasa Indonesia sedang giat menjalankan pengesahan identiti mangsa terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan, dan Kedutaan Malaysia sentiasa berhubung rapat dengan agensi-agensi berkaitan di Indonesia bagi mendapatkan perkembangan terkini.
Dalam insiden pada petang 4 Julai lalu, feri penumpang KMP Tunu Pratama Jaya dilaporkan karam semasa dalam perjalanan dari Pelabuhan Ketapang di Banyuwangi, Jawa Timur ke Pelabuhan Gilimanuk, Bali.
Feri tersebut membawa puluhan penumpang dan kenderaan, sebelum ia mula dimasuki air dipercayai akibat cuaca buruk serta ombak kuat.
Pasukan penyelamat Indonesia, termasuk Basarnas, Tentera Nasional Indonesia (TNI), dan agensi maritim lain segera melancarkan operasi menyelamat. Beberapa penumpang berjaya diselamatkan, namun ada yang masih hilang dan dikhuatiri lemas.
Pihak berkuasa Indonesia masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk aspek keselamatan dan muatan feri terbabit.
Dalam pada itu, Wisma Putra turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat atau memerlukan bantuan konsular berkaitan insiden ini agar menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di talian +62 813 8081 3036 atau melalui e-mel [email protected].
Orang ramai yang berada di Bali juga boleh menghubungi Konsul Kehormat Malaysia di Bali menerusi talian +62 361 751 953.
“Kementerian akan terus memantau keadaan ini dengan teliti dan mengemas kini sebarang perkembangan kepada orang awam dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN