Washington: Komisioner Jelajah PGA, Jay Monahan bersama Tiger Woods dan Adam Scott mengadakan pertemuan dengan pegawai White House bagi membincangkan rundingan penggabungan dengan LIV Golf.
Golfweek melaporkan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijangka hadir dalam pertemuan itu, namun kehadirannya atau mana-mana pegawai kerajaan belum disahkan oleh White House dan Jelajah PGA.
Woods mengesahkan terdapat mesyuarat yang berlangsung minggu lalu yang tidak dapat dihadirinya, tetapi dalam komen pada Ahad lalu, beliau menyatakan akan hadir ke mesyuarat ‘yang bakal diadakan’ dipercayai merujuk kepada pertemuan hari ini di White House.
Laporan Radar Atlas pula mengesahkan bahawa pesawat yang dikaitkan dengan Jelajah PGA serta Adam Scott, pemain utama jelajah yang juga pengarah pemain dalam lembaga polisi, sudah berada di Washington.
Golfweek turut melaporkan bahawa Gabenor Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi, Yasir Al Rumayyan dijangka terbabit dalam perbincangan bersama Trump.
Sebelum ini, Monahan, Scott dan Woods sudah bertemu dengan Trump dalam tempoh dua minggu terakhir.
Semasa siaran akhir pusingan Terbuka Genesis minggu lalu, Woods mengakui bahawa pertemuan antara kedua-dua pihak semakin hampir dan beliau percaya satu persetujuan boleh dicapai tahun ini.
Monahan dan Scott sebelum ini turut bertemu Trump di White House awal bulan ini, dengan Monahan secara terbuka menyatakan bahawa beliau mengalu-alukan pembabitan Trump dalam rundingan berkenaan.
Woods, yang bermain golf bersama Trump bulan ini, menyatakan rundingan kini berada dalam keadaan ‘sangat positif’.
“Saya rasa segala-galanya akan kembali pulih dengan cepat. Kita akan membawa sukan ini ke arah yang betul,” kata Woods ketika siaran kejohanan minggu lalu.
“Para peminat mahu melihat semua pemain terbaik bersaing bersama, dan kami akan merealisasikannya.”
Satu rangka kerja perjanjian untuk penggabungan antara kedua-dua siri golf itu dimeterai pada Jun 2023.
Al Rumayyan sebelum ini pernah bermain golf dengan Trump, dengan PIF menjadi penaja utama LIV Golf dan perniagaan peribadi Trump.
© New Straits Times Press (M) Bhd