Augusta, Georgia: Tiger Woods tidak berada di Augusta National minggu ini, tetapi juara Masters lima kali itu tetap menjadi perhatian ramai dalam kalangan 91 pemain beraksi.
Woods, 50, dilaporkan mendaftar dalam program rawatan di luar Amerika Syarikat (AS) selepas terbabit dalam kemalangan kereta yang membawa kepada tangkapan di bawah pengaruh (DUI) di Florida pada 27 Mac lalu.
Beliau kemudian mengumumkan tidak akan hadir bagi edisi ke-90 Masters minggu ini dan menarik diri daripada pertimbangan untuk menjadi ketua pasukan Piala Ryder Amerika Syarikat pada 2027 ketika dia mengambil cuti daripada golf untuk tempoh yang tidak ditentukan.
Pesawat Woods dilaporkan mendarat di Switzerland minggu lalu, beberapa hari selepas peguamnya memberitahu Hakim Martin County bahawa pelanggan superstar itu memerlukan program intensif, sangat peribadi dan bersepadu secara perubatan jauh daripada perhatian media dan orang ramai.
“Ini menunjukkan elemen manusia dan sisi manusia seseorang yang bergelut dengan sejenis ketagihan,” kata Jason Day selepas menamatkan pusingan latihannya di Masters, hari ini.
“Dia tidak kebal hanya kerana boleh memukul bola golf dengan baik. Dia menjalani 25 hingga 30 pembedahan dan apabila melalui banyak prosedur sebegitu, ia menyakitkan keluar dari prosedur itu. Saya sendiri pernah melalui prosedur dan biasanya cuba menjauhkan diri daripada semua itu kerana saya tahu ubat penahan sakit, ada kemungkinan ia boleh membawa kejatuhan.
“Melihat pada situasi itu, saya anggap dia manusia seperti orang lain dan kita semua ada perjuangan. Sangat malang.”
Woods mengaku tidak bersalah atas pertuduhan kesalahan ringan DUI selepas SUV beliau melanggar belakang treler yang ditarik oleh lori berhampiran rumahnya di Jupiter, Florida.
Keretanya terbalik di sisi dan dia didakwa atas kesalahan memandu dalam keadaan terganggu.
Pegawai menemui dua pil putih dalam poket seluarnya, yang kemudian disahkan pihak berkuasa sebagai hidrokodon.
“Satu-satunya yang saya tak faham ialah agak mementingkan diri apabila memandu dan membahayakan orang lain juga,” kata Day.
“Tapi bila anda pemain sehebat dia dan semangatnya begitu kuat, dia fikir dia boleh buat hampir apa sahaja, mungkin sebab itulah dia memandu sambil sedikit di bawah pengaruh.”
Sebelum kemalangan itu, Woods pernah berkata dia sedang berusaha untuk bermain di Masters minggu ini.
Kini ketiadaannya di Augusta National menjadi perhatian utama mereka yang pernah bersaing dengan Woods atau membesar cuba mencontohi juara 15 gelaran utama itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd





