WTF 2024: Enam wakil bawa semangat Malaysia Boleh!

WTF 2024: Enam wakil bawa semangat Malaysia Boleh!


PELUANG enam wakil yang menggalas cabaran Malaysia untuk melangkah lebih jauh dalam Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 di Hangzhou, China bermula Rabu ini adalah cerah.

Malah mereka juga berpeluang untuk muncul sebagai juara kumpulan, namun ia bergantung kepada prestasi semasa dan strategi yang diterapkan oleh jurulatih.

Penganalisis sukan, Mohd Sadek Mustaffa berkata, barisan kejurulatihan juga perlu membuat analisa kekuatan dan kelemahan lawan sebagai persediaan terbaik untuk melakar keputusan positif.

Beliau berkata, setiap perlawanan adalah berbeza dan taktikal yang digunakan juga perlu variasi bagi memastikan misi untuk berada dalam kelompok empat terbaik dapat dicapai.

“Perkiraan atas kertas menerusi enam wakil membuka peluang yang baik untuk mereka muncul juara kumpulan. Apapun fokus satu ke satu perlawanan.

“Sejauh mana mereka mampu melakukannya bergantung kepada beberapa perkara. Buat analisa pemain dan pasangan lawan, bukan sahaja berdasarkan satu permainan, tetapi dari banyak perlawanan.

“Susun strategi permainan dengan baik kerana setiap perlawanan adalah berbeza. Bersikap matang dalam gelanggang dan urus emosi dengan baik,” katanya kepada Sukan Sinar.

Enam wakil negara sudah mengesahkan slot ke WTF termasuk pasangan yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) iaitu beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Toh Ee Wei-Chen Tan Jie.

Tiga lagi wakil profesional ialah pemain perseorangan, Lee Zii Jia, dua beregu lelaki, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei serta pasangan suami isteri, Goh Soon Huat dan Shevon Lai.

Menyentuh mengenai peluang Zii Jia, Mohd Sadek berkata, pemain itu berdepan dengan cabaran untuk mendapatkan kembali rentaknya yang hilang selepas meraih pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024.

“Prestasinya di gelanggang tidak konsisten. Seakan ada yang tidak kena, namun saya tidak pasti apa punca. Apapun jurulatih (Wong Tat Meng) lebih mengetahui apa yang terbaik buat Zii Jia,” katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM Shah Alam melihat kategori beregu sebagai menarik apabila Nur Izzuddin-Sze Fei berada pada prestasi terbaik biarpun terlepas tiket untuk ke Paris Ogos lalu.

Tambahnya, pasangan itu merangkul tiga gelaran dan memperagakan aksi yang konsisten sekali gus berpeluang untuk melangkah jauh pada kejohanan penutup tirai tersebut.

“Beri fokus yang tinggi dalam setiap perlawanan. Lepasi peringkat kumpulan untuk berada dalam empat kelompok terbaik dan cuba untuk mara ke final sebelum mengintai peluang bergelar juara,” katanya.

Mohd Sadek turut melihat peluang yang bagus buat Tang Jie-Ee Wei, namun mereka perlu lebih matang dengan corak permainan dan kawal mental dengan baik.

“Keluarkan keupayaan sebenar yang mereka ada. Buktikan bahawa mereka hadir bukan atas tiket ‘wild card’, tetapi dengan prestasi terbaik untuk bersaing dengan beregu terkuat dunia,” katanya.

Menurut beliau, peluang Pearly-Thinaah pula bergantung kepada tahap fizikal dan keupayaan mental mereka selain percaturan ampuh jurulatih.

“Diharapkan pengalaman beraksi dalam kumpulan maut pada Sukan Olimpik Paris dapat membantu mereka untuk berdepan tentangan sengit pasangan lawan. Harap tidak cedera kerana ia boleh menjejaskan prestasi mereka,” katanya.

Justeru Mohd Sadek turut mengingatkan kesemua wakil negara untuk berjuang demi nama baik dan maruah negara.

“Mereka membawa bendera negara. Ia adalah imej dan satu perjuangan yang besar. Datang sebagai wira, berani mati bawa semangat kamikaze’ dan Malaysia Boleh,” katanya.

Sebagai rekod mereka yang dibahagikan kepada dua kumpulan dengan pemain atau beregu yang menghuni dua tempat teratas akan mara ke separuh akhir dan kemudian bersaing ke final untuk bergelar juara.



Source link

OR

Scroll to Top