PERSEKUTUAN Wushu Malaysia (PWM) bakal mempertaruhkan sebanyak 70 peratus atlet wushu di bawah Program Podium manakala selebihnya atlet pelapis bagi menggalas tugas negara ke Sukan SEA 2025 Thailand pada hujung tahun ini.
Presidennya Datuk Chong Kim Fatt berkata, kesemua atlet terlibat bagaimanapun masih perlu menjalani proses pemilihan menerusi beberapa kejohanan berbaki beberapa bulan sahaja lagi sebelum dimuktamadkan.
“Untuk nak dapat pingat kita ada atlet podium tetapi tetap perlukan persediaan yang lebih awal iaitu untuk memberikan peluang kepada atlet pelapis. Kejohanan yang akan disertai termasuk Kejohanan Wusyu Remaja Asia di China (Julai) dan Kejohanan Wushu Dunia di Brazil (September).
“Kita masih mahu jaga keputusan (prestasi) di Thailand, jadi akan ada gabungan atlet podium dan pelapis,” katanya ketika ditemui pemberita pada forum berkaitan sukan pada Jumaat
Kim Fatt berkata, pihaknya sedang berunding bagi memohon pertimbangan tuan rumah susulan tiga acara wushu bagi rutin taolu akan digabungkan untuk perebutan satu pingat pada Sukan SEA 2025 Thailand.
Katanya, sekiranya ketetapan itu tidak berubah, ia bakal memberikan kesan kepada atlet bertanding.
INFO
Pada Sukan SEA Kemboja, kem wushu membawa pulang dua emas, dua perak dan enam gangsa.
OR