GRANIT Xhaka menyifatkan perpindahannya ke Sunderland sebagai cabaran terbesar dalam kerjaya profesionalnya, namun yakin keputusan itu selari dengan aspirasi peribadi serta hala tuju kelab yang sedang meningkat naik.
Perpindahan pemain tengah berpengalaman itu dari Bayer Leverkusen ke Stadium of Light diumumkan secara rasmi pada Rabu, dengan pemain antarabangsa Switzerland itu menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama The Black Cats.
Sunderland dilaporkan membayar yuran perpindahan sebanyak £13 juta (kira-kira RM78 juta) dengan tambahan £4.3 juta (RM25.8 juta) dalam bentuk insentif.
Xhaka, 32, hadir dengan reputasi cemerlang di pentas tertinggi.
Sepanjang tujuh musim bersama Arsenal, beliau memenangi dua Piala FA dan menjadi tonggak utama di bahagian tengah.
Musim lalu, beliau membantu Leverkusen menjulang kejuaraan Bundesliga tanpa sebarang kekalahan, satu pencapaian luar biasa yang turut menyaksikannya berada di kedudukan ke-16 dalam anugerah Ballon d’Or 2024.
Meskipun berpeluang untuk terus beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara bersama Leverkusen, Xhaka memilih untuk menyertai Sunderland yang baru sahaja kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menjuarai perlawanan play-off kejuaraan.
“Saya sukakan cabaran. Ini mungkin yang paling besar dalam kerjaya saya, tetapi saya bersedia menghadapinya dan mahu membuktikan kemampuan saya setiap minggu di atas padang,” katanya yang berkemungkinan membuat penampilan pertama dalam aksi persahabatan menentang Real Betis hujung minggu ini.
Xhaka menjelaskan bahawa keputusannya dipengaruhi oleh keyakinan terhadap projek jangka panjang kelab serta semangat dan mentaliti yang ditunjukkan oleh pengurusan dan pemain.
“Saya merasakan sudah tiba masanya untuk satu permulaan baharu. Bila saya berbincang dengan kelab, saya dapat rasakan tenaga positif dan kesungguhan yang sepadan dengan apa yang saya cari,” katanya.
Dengan 137 penampilan bersama skuad kebangsaan Switzerland, kehadiran Xhaka dijangka menambah kestabilan, pengalaman dan kepimpinan dalam skuad muda Sunderland.
“Saya sudah tujuh tahun beraksi di United Kingdom, jadi saya faham cabaran dan budaya bola sepak di sini. Saya mahu menyumbang dari segi pengalaman dan mentaliti kerja keras untuk membantu kelab mencapai matlamat,” ujarnya.
Ketua jurulatih Sunderland, Regis Le Bris turut memuji kehadiran Xhaka sebagai satu kenyataan jelas bahawa kelab kini berada pada landasan tepat untuk menarik nama-nama besar.
“Kehadiran Xhaka mencerminkan daya tarikan projek kami. Jika pemain bertaraf dunia seperti beliau bersetuju menyertai kami, itu tanda perkembangan yang sangat positif.
“Selepas memulakan kempen perpindahan dengan pemain muda berbakat, kami kini menambah keseimbangan dalam skuad dengan pemain berpengalaman. Xhaka adalah pelengkap sempurna untuk itu,” kata Le Bris.
Xhaka dijangka memainkan peranan penting, bukan sahaja sebagai pemimpin dalam bilik persalinan, malah sebagai watak utama di jantung tengah padang The Black Cats musim ini.