Kempen pencarian bakat baharu dalam bidang nyanyian, XTRA XSTAR 2025, semakin hangat apabila pentas akhir yang dinanti bakal berlangsung pada 31 Oktober ini.
Menampilkan lima finalis dengan latar belakang dan keunikan tersendiri, masing-masing bukan sahaja memiliki vokal istimewa, malah turut menjadikan pertandingan ini sebagai platform untuk mencipta nama dalam industri hiburan tanah air.
Berikut perkongsian menarik mengenai penyanyi kegemaran, idola serta harapan lima finalis XTRA XSTAR 2025 menjelang malam kemuncak.

Bagi Alisya Sabrina, figura nombor satu negara, Biduanita Datuk Seri Siti Nurhaliza menjadi inspirasi utama dalam perjalanan nyanyiannya.
“Beliau mempunyai suara yang merdu dan mampu membawakan pelbagai genre dengan baik,” katanya yang turut menjadikan Amy Winehouse sebagai ikon luar negara kerana keunikan vokal dan kebolehannya sebagai komposer sejak muda.
Alisya yang meminati genre R&B, balada dan jazz, berharap persembahan akhir nanti menjadi kenangan terindah buatnya.
“Apa pun hasilnya, yang penting saya sudah berikan segalanya dengan sepenuh hati untuk tontonan semua,” ujarnya.

Menjadikan Ernie Zakri, Aina Abdul, Aisyah Aziz dan Hael Husaini sebagai penyanyi kegemaran tempatan, Ledia De turut mengagumi Jeff Satur, Guy Sebastian, Ariana Grande dan Raye dari luar negara.
Menurut Ledia, semangat juang dan kecekalan idola-idolanya memberi inspirasi besar buatnya.
“Mereka buktikan bahawa dedikasi dan kerja keras adalah kunci untuk mengatasi halangan dan menjadikan impian satu realiti,” katanya.
Minat terhadap R&B, pop dan balada, selain sedang mempelajari genre tradisional, menjadikan Ledia antara finalis yang versatil.
“Saya harap showcase akhir ini berjalan lancar dan memberi inspirasi kepada anak muda lain untuk berani berkarya,” tambahnya.

Bagi Qal Dainish, nama seperti Usop, Haqiem Rusli, Naim Daniel dan Hael Husaini cukup besar pengaruhnya.
“Saya kagum dengan cara mereka membuat persembahan di atas pentas. Aura mereka luar biasa dan mereka juga berbakat mencipta lagu yang menyentuh perasaan,” katanya.
Menggemari genre pop, balada, galau dan slow rock, Qal berharap dapat dinobatkan sebagai juara.
“Jika diberi peluang bernaung di bawah Alternate Record, saya akan ketengahkan lagi bakat dan berikan yang terbaik,” ujarnya.

Finalis Shaff Asran pula menjadikan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Aina Abdul, Alif Satar, Celine Dion dan Whitney Houston sebagai idolanya.
Katanya, minat terhadap dunia seni sebenarnya diwarisi daripada ibunya yang pernah bergelar penyanyi artis budaya.
“Ibu menjadi inspirasi utama saya untuk terus melangkah dalam dunia seni,” katanya.
Menyenangi genre balada, pop, R&B, rock jiwang dan pop rock, Shaff berazam untuk menjadikan XTRA XSTAR sebagai batu loncatan dalam kerjaya seninya.
“Saya harap dapat menjadi juara dan mendapat tempat dalam industri bukan hanya nyanyian, tapi juga dalam bidang pengacaraan dan lakonan,” ujarnya.

Bagi Amanda, dua figura besar dunia muzik iaitu Dayang Nurfaizah dan Beyoncé menjadi penyanyi kegemarannya.
“Saya mengagumi Beyoncé dan Datuk Seri Siti Nurhaliza bukan sahaja kerana bakat mereka, tetapi juga sebagai usahawan wanita yang berjaya ke peringkat antarabangsa. Tambahan pula, sokongan ibu terhadap bakat saya menjadi inspirasi terbesar untuk terus berusaha,” jelasnya.
Amanda yang meminati genre pop, balada dan hip hop turut meletakkan harapan tinggi menjelang showcase akhir.
“Saya berharap dapat buat yang terbaik dan menghiburkan penonton. Jika diizinkan, semoga saya mampu meraih gelaran juara dengan sokongan keluarga dan peminat. Yang paling penting, mereka terhibur dengan persembahan saya,” katanya.
Menjelang pentas akhir XTRA XSTAR 2025, kelima-lima finalis ini jelas memperlihatkan semangat dan keazaman tinggi untuk menyerlah.
Siapakah yang bakal bergelar juara dan dan bergelar artis rakaman Alternate Records & Talents? Semuanya bakal terjawab pada 31 Oktober ini!
Jangan ketinggalan menyaksikan Showcase Akhir XTRA XSTAR 2025 pada Jumaat, 31 Oktober 2025, jam 8.30 malam, secara langsung di akaun TikTok rasmi @xtra_my.
Pemenang bukan sahaja akan meraih gelaran juara, tetapi turut membawa pulang kontrak rakaman dan pengurusan eksklusif bersama Alternate Records & Talents, selain peluang muncul di pelbagai platform Media Prima, termasuk wawancara dan liputan khas XTRA.
Untuk maklumat lanjut, layari www.xtra.com.my/xtraxstar atau ikuti XTRA di TikTok, Instagram, Facebook dan X menerusi carian @XTRA_MY.
Artikel Berkaitan: XTRA XSTAR 2025: Lima Finalis Tampil Dengan Identiti Berbeza, Masing-Masing Unik & Berbakat!






