Yamaha suntik RM200,000 bantu persiapan Bunga Raya 7s ke Sukan SEA 2025

Yamaha suntik RM200,000 bantu persiapan Bunga Raya 7s ke Sukan SEA 2025


Dari kiri, Mun Wei menerima replika, jersi skuad ragbi kebangsaan daripada Amir Amri. Foto: KRM

PERSIAPAN skuad ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki dan wanita negara menjelang Sukan SEA Thailand 2025 menerima suntikan semangat baharu apabila Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) tampil menaja pasukan berkenaan dengan penajaan berjumlah RM200,000.

Penajaan berstatus Perak itu disalurkan kepada Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) bagi menyokong latihan intensif dan pembangunan menyeluruh pasukan Bunga Raya 7s, yang kini giat membuat persiapan rapi ke temasya dwitahunan itu yang dijadual berlangsung hujung tahun ini.

Presiden KRM, Amir Amri Mohamad, merakamkan penghargaan atas sokongan yang diberikan oleh syarikat gergasi automotif itu, yang disifatkan mampu memberi impak besar terhadap pencapaian pasukan ragbi di pentas antarabangsa.

“KRM amat menghargai komitmen Hong Leong Yamaha Motor dalam menyokong pasukan Bunga Raya tujuh sebelah.

“Penajaan ini bukan sahaja memberi kelegaan kewangan, malah menyuntik motivasi buat pemain-pemain yang majoritinya merupakan penuntut institusi pengajian tinggi.

“Mereka sentiasa menunjukkan semangat juang tinggi serta komitmen luar biasa dalam setiap sesi latihan dan kejohanan, meskipun berhadapan pelbagai kekangan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penajaan Rasmi HLYM dan KRM di Genblu Café, ibu pejabat HLYM di Sungai Buloh pada Selasa.

Majlis penajaan tersebut turut dihadiri Pengarah Urusan HLYM, Profesor Datuk Dr Jim Khor Mun Wei, yang menyatakan bahawa semangat yang dibawa oleh pasukan ragbi negara adalah seiring dengan nilai yang didukung oleh jenama Yamaha.

“Nilai seperti ketabahan, semangat kesukanan dan kerjasama sepasukan adalah selari dengan falsafah perniagaan kami.

“Justeru, kami berharap sumbangan ini dapat memenuhi keperluan asas pasukan seperti latihan, pemakanan serta elaun atlet bagi memastikan prestasi terbaik dapat ditampilkan di Sukan SEA nanti,” katanya.

 



Source link

OR

Scroll to Top