Turin: Pemain sayap Barcelona, Lamine Yamal menang anugerah Golden Boy 2024, melengkapkan tahun gemilang apabila dia membantu Sepanyol muncul juara Euro 2024, sekali gus muncul pemenang paling muda anugerah itu pada usia 17 tahun dan empat bulan, lapor akhbar sukan Itali, Tuttosport semalam.
Anugerah itu mengiktiraf pemain berusia di bawah 21 tahun beraksi di Eropah dan Yamal dipilih mengatasi pemain Real Madrid, Arda Guler dan pemain Paris Saint-Germain (PSG), Warren Zaire-Emery.
Yamal dinamakan Pemain Muda Terbaik Euro 2024 di Jerman apabila dia muncul pemain paling muda tampil pada pusingan akhir dan golnya pada separuh akhir ketika menang ke atas Perancis menjadikannya penjaring gol paling muda di kejohanan itu.
Dia muncul pemain paling muda menang Euro apabila Sepanyol menewaskan England 2-1 di final dan pada majlis anugerah Ballon d’Or bulan lalu, dia menang Trofi Kopa bagi pemain terbaik dunia di bawah 21 tahun dan menduduki tangga kelapan anugerah itu secara keseluruhan.
Yamal meneruskan persembahan cemerlangnya musim ini apabila menjaringkan lima gol dalam 12 perlawanan liga buat pendahulu La Liga, Barcelona selepas dia tampil daripada akademi La Masia kelab itu, sama seperti Lionel Messi.
Pemain England dan Real Madrid, Jude Bellingham meraih anugerah itu musim lalu dan pemenang terdahulu termasuk penyerang Perancis, Kylian Mbappe dan bekas penyerang England, Wayne Rooney.
Yamal adalah pemain keempat Barca memenanginya selepas Gavi, Pedri dan Messi.
Pemain tengah menyerang Barcelona berusia 18 tahun, Vicky Lopez pula memenangi anugerah Golden Girl.
© New Straits Times Press (M) Bhd