Yaman dijangka uji Harimau Malaya sebelum Piala AFF

Yaman dijangka uji Harimau Malaya sebelum Piala AFF



mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya mendapat tonik terbaik sebelum sepak mula saingan Piala AFF 2024, bulan depan apabila dijangka mengharungi perlawanan persahabatan menentang Yaman dalam tempoh terdekat ini.

Walaupun tiada sebarang perkhabaran daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), namun media Yaman iaitu Yemen Sport memberitahu pasukan berpengkalan di Asia Barat itu akan menjalani kem latihan di Malaysia sebagai persediaan untuk menghadapi Piala Teluk Arab 26.

Kem latihan itu adalah susulan daripada dua aksi antarabangsa yang ditempuh pasukan itu pada 16 dan 19 November lalu apabila Yaman tewas sekali dan menang sekali dengan pasukan Asia Selatan, Sri Lanka.

Pengurus pasukan Yaman, Abdul Rahman Alnasi memaklumkan kem latihan itu turut diselangi dengan aksi persahabatan antarabangsa menentang Harimau Malaya.

Aksi itu cukup penting buat Yaman kerana selain sebagai persediaan menghadapi Piala Teluk Arab 26, aksi itu sebagai persiapan menghadapi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027.

Setakat ini, belum ada pengumuman rasmi daripada FAM berhubung aksi persahabatan berkenaan.

Malah, Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman turut memaklumkan pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente akan membuat pengumuman berkaitan barisan pemain yang akan dibawa ke Piala AFF 2024 selain rangka persediaan bagi mengharungi perlawanan itu.

“Vicente akan membuat pengumuman berkaitan pemain yang akan dibawa ke Piala AFF 2024 dalam tempoh terdekat ini.

“Beliau akan memaklumkan kemudian berkaitan perkembangan itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top