Yang comel jadi pilihan

Yang comel jadi pilihan


asmaini@mediaprima.com.my

Arnab, hamster, guinea pig, katak pacman, cicak gecko dan sugar glider antara pilihan popular masyarakat di Malaysia untuk dijadikan sebagai haiwan peliharaan.

Selain saiz yang comel, penjagaan haiwan bersaiz kecil itu juga tidak terlalu rumit dan sifat mesra manusia antara faktor utama.

Namun, seperti haiwan peliharaan lain, ia juga memerlukan perhatian dan penjagaan yang betul supaya hidup lebih sihat.

Sebelum memelihara sebarang jenis haiwan kecil, pastikan anda memilih spesies yang sesuai dengan gaya hidup.

Ini kerana, meskipun bersaiz kecil, namun haiwan berkenaan tetap memerlukan ruang yang khusus untuk hidup.

Pastikan haiwan kecil anda mempunyai sangkar atau habitat yang selesa dan bersih.

Ruangnya perlu cukup luas untuk haiwan kecil anda bebas bergerak.

Selain itu, sangkar itu juga memerlukan pengudaraan yang baik dan permukaan lantai yang selamat untuk tapak kaki haiwan kecil.

Tempat tidur, ruang persembunyian dan bekas makanan haiwan kecil yang dibela juga perlu sentiasa dibersihkan.

Dalam pada itu, soal pemakanan juga harus diberi perhatian kerana haiwan peliharaan bersaiz kecil juga memerlukan pemakanan seimbang.

Sediakan diet yang sesuai dengan spesies haiwan terbabit contohnya rumput kering (hay), pelet dan sayur segar bagi arnab serta bijirin, sayuran segar termasuk buah-buahan dalam kuantiti kecil untuk hamster.

Jika memelihara guinea pig, pemakanan utamanya adalah rumput kering (hay), sayur segar dan vitamin C tambahan.

Manakala, sugar glider pula memerlukan makanan seperti buah, serangga kecil dan pelet khas.

Apapun makanan yang diberi, pastikan air minuman yang diberi adalah bersih dan mencukupi.

Jika pertama kali membela haiwan kecil, anda juga perlu lebih cakna akan tahap kesihatannya.

Selera makan dan kotoran (najis dan air kencing) haiwan peliharaan anda pula seharusnya dipantau selain memerhati tingkah lakunya adakah kelihatan murung, agresif atau terlalu pasif?

Jika mengesan sebarang tanda ia sakit atau tiada selera makan, segeralah bawa ke ke klinik veterinar terdekat.

Sementara itu, walaupun sesibuk mana kerja harian anda, luangkan masa seketika untuk bermain atau berinteraksi dengan haiwan peliharaan setiap hari.

Ini kerana sesetengah haiwan (seperti guinea pig dan sugar glider) memerlukan pasangan untuk mengelakkan kesunyian.

Sebaiknya, gunakan alat permainan atau objek untuk merangsang mental haiwan berkenaan.

Bermakna, memelihara haiwan kecil adalah satu tanggungjawab yang menyeronokkan dan memberi banyak manfaat dari segi emosi mahupun hubungan sesama makhluk ciptaan Tuhan.

Menerusi penjagaan yang betul, haiwan kecil juga boleh hidup dengan sihat dan bahagia serta menjadi teman yang setia untuk anda sekeluarga.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top