Yang di-Pertuan Agong selamat menjalani rawatan di luar negara

Yang di-Pertuan Agong selamat menjalani rawatan di luar negara


PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selamat menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan otot dan tulang (musculoskeletal) di luar negara.

Istana Negara memaklumkan perkara itu dalam akaun media sosial Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Turut dimaklumkan, baginda dijangka berangkat pulang ke Malaysia pada Jumaat ini.

Menurut kenyataan itu lagi, kesakitan berkenaan berlaku akibat latihan ketenteraan intensif dan gaya hidup aktif Seri Paduka Baginda yang gemar bersukan sewaktu muda, terutama bermain polo.

“Sultan Ibrahim bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah menzahirkan penghargaan tulus ikhlas kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah mengadakan solat hajat dan tidak putus-putus menitipkan doa untuk kesihatan Seri Paduka Baginda,” menurut kenyataan itu.

Pada 7 Februari lalu, Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan Seri Paduka Baginda berangkat ke luar negara bagi menjalani rawatan. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top