10 Ogos 2025 03:55pm
Masa membaca: 4 minit
Yee Hern- Wen Tse mencipta kejutan apabila menewaskan pilihan utama, Ratchapol Makkasasithorn-Nattamon Laisuan dalam kejohanan badminton Siri Antarabangsa Thailand 2025 di Nakhon Ratchasima – Foto: IG Wen Tse
BEREGU campuran negara, Wee Yee Hern-Chan Wen Tse mencipta kejutan apabila menewaskan pilihan utama, Ratchapol Makkasasithorn-Nattamon Laisuan untuk merangkul gelaran pertama mereka dalam kejohanan badminton Siri Antarabangsa Thailand 2025 di Nakhon Ratchasima, hari ini.
Yee Hern-Wen Tse yang juga pilihan ketiga kejohanan mengambil masa 33 minit untuk menafikan peluang pasangan nombor 64 dunia itu meraih kejuaraan di laman sendiri, dengan 22-20, 21-16, dalam perlawanan yang berlangsung di Terminal 21 Korat.
Ini merupakan kemenangan kedua pasangan ranking 144 dunia itu ke atas beregu Thailand tersebut dalam tiga perlawanan sejak kali pertama bertembung di Cabaran Antarabangsa Sri Lanka 2025, Februari lepas.
Yee Hern-Wen Tse dijadual beraksi dalam Cabaran Antarabangsa Malaysia 2025 yang akan diadakan di Perak bermula Selasa ini hingga 17 Ogos.
Mereka akan menentang gandingan Australia, Timotius Elbert-Sarita Suwanakuboriharn. – Bernama