Yildiz jadi duri dalam daging buat Wydad. – Foto: Agensi
BINTANG muda Juventus, Kenan Yildiz tampil cemerlang dengan meledak dua jaringan dan memainkan peranan penting dalam gol sendiri pihak lawan sekali gus membantu gergasi Serie A Itali itu menang 4-1 ke atas kelab Maghribi, Wydad Casablanca dalam aksi Kumpulan G Piala Dunia Kelab FIFA di Stadium Lincoln Financial Field, Philadelphia, Pennsylvania.
Kemenangan itu meletakkan skuad The Old Lady bimbingan Igor Tudor di ambang kelayakan ke pusingan 16 terakhir apabila mendahului Kumpulan G dengan enam mata selepas dua perlawanan, tiga mata di depan Manchester City yang akan beraksi menentang kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), Al Ain pada Isnin.
Juventus akan melangkah ke pusingan kalah mati jika Al Ain gagal menewaskan kelab Liga Perdana Inggeris kendalian Pep Guardiola itu, manakala Manchester City pula boleh menempah slot 16 terakhir sekiranya mencatat kemenangan ke atas lawan.
Juventus sebelum ini memecah kebuntuan pada minit keenam menerusi gerakan berpasukan yang kemas, diakhiri dengan pertahanan Wydad, Abdelmounaim Boutouil, tertampan bola ke gawang sendiri hingga mengelirukan penjaga gol Mehdi Benabid.
Penyerang Turkiye berusia 20 tahun itu menggandakan kelebihan Juventus pada minit ke-16 dengan rembatan menakjubkan dari luar kotak penalti, sekali lagi menewaskan Benabid.
Wydad kemudian merapatkan jurang pada minit ke-25 susulan kesilapan barisan pertahanan Juventus yang membolehkan Nordin Amrabat menyambar bola sebelum disudahkan oleh Thembinkosi Lorch melepasi penjaga gol Juventus, Michele Di Gregorio.
Jaringan itu menyemarakkan semangat Wydad yang memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri untuk mengekalkan harapan realistik mara ke pusingan 16 terakhir selepas tewas 0-2 kepada Manchester City dalam aksi pembukaan. Wydad terus memberi tekanan tinggi ke atas Juventus.
Bagaimanapun, pasukan Itali itu kembali menguasai permainan pada separuh masa kedua, dibantu oleh kemasukan Teun Koopmeiners yang menggantikan Weston McKennie.
Gol ketiga hadir pada minit ke-69 apabila Yildiz menerima hantaran kemas Randal Kolo Muani lalu tenang menyumbat masuk dari jarak dekat.
Sementara itu, pemain gantian, Dusan Vlahovic melengkapkan kemenangan pada masa tambahan dengan menyempurnakan sepakan penalti selepas dikasari Guilherme Ferreira pada minit ke-94.
Gergasi Itali itu yang tidak kalah selama dua bulan di bawah kendalian jurulatih Igor Tudor akan mengekalkan momentum dalam perlawanan kumpulan terakhir menentang Manchester City manakala Wydad dan Al Ain berdepan penyingkiran awal Jumaat ini.