September 8, 2024

Yoro, Sancho jadi tumpuan

Yoro, Sancho jadi tumpuan


London: Leny Yoro tampil kali pertama bersama Manchester United selepas berpindah dari Lille dengan harga £52 juta (RM314.96 juta) manakala Jadon Sancho kembali beraksi ketika menewaskan Rangers 2-0 dalam aksi persahabatan awal pagi tadi.

Yoro dan Sancho bermain 45 minit pertama dalam perlawanan pemanas badan terbaru United di Murrayfield, Edinburgh menjelang kempen musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL).

Jaringan Amad Diallo dan Joe Hugill memastikan kemenangan selesa United ke atas kelab Liga Perdana Scotland itu.

Hanya selepas 48 jam United membeli Yoro, pertahanan Perancis berusia 18 tahun itu bergandingan bersama Jonny Evans — pemain yang sekali ganda usianya di bahagian tengah benteng pasukan.

Penyokong United antara 56,574 penonton turut menyaksikan kembalinya Sancho kali pertama sejak pertelagahannya dengan Ten Hag musim lalu.

Pemain berusia 24 tahun itu menghabiskan babak kedua musim lalu di Borussia Dortmund secara pinjaman selepas mendakwa dia dijadikan kambing hitam oleh Ten Hag ketika disisihkan daripada aksi menentang Arsenal.

Ia perlawanan pertama Sancho bersama United sejak masuk daripada bangku simpanan ketika menewaskan Nottingham Forest pada Ogos lalu manakala penyerang Belanda Joshua Zirkzee yang ditandatangani dari Bologna baru-baru ini tidak beraksi susulan masih berehat selepas tamat Euro 2024.

Andre Onana, Aaron Wan-Bissaka, Casemiro dan Mason Mount tampil untuk United bersama Diallo yang dipinjamkan ke Rangers dua tahun lalu.

Diallo memecah kebuntuan pada minit ke-39 selepas dia yang mendapat hantaran dari sebelah kanan melepaskan rembatan rendah melepasi jangkauan Jack Butland.

Ten Hag kemudiannya melakukan pertukaran kesebelasan pada babak kedua menyaksikan Jack Fletcher, 17, anak kepada jurulatih United dan bekas kapten Scotland Darren Fletcher, serta Will Fish antara pemain kurang berpengalaman yang diberikan peluang beraksi.

Hugill, 20, memastikan kemenangan United menerusi jaringan menarik pada minit ke-70. Skuad Ten Hag akan memulakan musim baharu EPL dengan menentang Fulham di Old Trafford pada 16 Ogos.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top