Kejayaan ikat Australia suntik semangat Young Tigers berdepan New Zealand. – Foto: MHC
KEJAYAAN mengikat naib juara edisi lalu, Australia 1-1 pada Ahad dilihat meningkatkan lagi keyakinan skuad negara untuk berdepan New Zealand bagi aksi ketiga Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru pada Selasa.
Keyakinan itu disuarakan oleh pengendali Young Tigers, Nor Saiful Zaini Nasiruddin setelah menyaksikan aksi dipamerkan pemain yang bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat skuad Burras itu.
“Saya rasa mereka (New Zealand) lebih kurang sama seperti Australia, mungkin tidak setajam Australia, tetapi seperti Australia, saya melihat mereka suka mengalahkan pemain secara satu lawan satu.
“Justeru, kami perlu menggunakan ruang dan cepat mengeluarkan bola dari tepi. Saya rasa itu yang kami boleh lakukan, dan nanti kami akan lihat untuk perbaiki lagi.
“Cuma yang jelas, kami perlu lebih bijak dalam pertahanan pukulan sudut penalti kerana itu adalah kelemahan kami,” katanya menjelang aksi menentang New Zealand.
Untuk rekod, Young Tigers yang tewas 2-7 kepada Pakistan pada aksi sulung pada Sabtu, mengejutkan Australia pada minit ke-13 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Azimuddin Shakir Kamaruddin.
Bagaimanapun, Australia yang mencatatkan kemenangan 4-0 ketika berdepan New Zealand pada aksi sulung, mula memperkemaskan corak permainan hingga berjaya menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Ian Grobbelaar pada minit ke-47.
Sementara itu, Nor Saiful berkata, kecederaan yang dialami Azimuddin Shakir tidak serius dan pemain berkenaan berkemungkinan boleh beraksi menentang New Zealand.
“Saya rasa dia mengalami kecederaan kecil, benjolan kecil pada tulang, bukan kecederaan otot. Tidak serius. Saya rasa tidak serius.
“Hari ini (Isnin) satu hari rehat dengan ais… Tapi saya pun tidak nampak kecederaannya, cuma saya nampak apa yang dia alami ialah benjolan kecil akibat terkena kayu.
“Itu saya rasa satu hari dia boleh pulih, insya-ALLAH,” katanya.
Ringkasan AI
- KEJAYAAN mengikat naib juara edisi lalu, Australia 1-1 meningkatkan keyakinan skuad negara untuk berdepan New Zealand di Piala Sultan Johor
- Pengendali Young Tigers, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menyatakan keyakinan selepas pasukannya bangkit seri dengan Australia
- Nor Saiful mencatat kelemahan dalam pertahanan pukulan sudut penalti yang perlu diperbaiki
- Young Tigers tumpas kepada Pakistan 2-7 tetapi mengejutkan dengan mengikat Australia 1-1
- Kecederaan Azimuddin Shakir yang dialami tidak serius dan berpotensi boleh beraksi menentang New Zealand