Skuad Young Tigers akan berdepan Bangladesh dalam perlawanan penentuan ketiga keempat Piala Asia Bawah B-18 pada Ahad ini. Foto Asian Hockey Federation
PENGENDALI skuad hoki lelaki remaja negara, Mohd Sufian Mohamad mahu pemain-pemain The Young Tigers melupakan kekecewaan gagal mara ke perlawanan akhir Piala Asia Bawah 18 tahun (B-18) dengan meraih kedudukan ketiga terbaik kejohanan sulung tersebut.
Malah Mohd Sufian mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang mudah keupayaan Bangladesh yang menjadi lawan dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat pada Ahad ini.
“Kita akan bertemu Bangladesh di penentuan tempat ketiga dan keempat. Bagi saya Bangladesh juga pasukan yang perlu diberi perhatian, mereka nampak begitu matang.
“Saya harap kita tidak putus asa dan cuba meraih tempat ketiga di kejohanan ini,” katanya selepas cabaran Young Tigers disekat Pakistan di peringkat separuh akhir pada Jumaat.
Hasrat Young Tigers untuk mara ke perlawanan akhir sebelum itu tidak kesampaian selepas tewas kepada Pakistan menerusi penentuan penalti shoot out 3-4 pada aksi separuh akhir di Dazhou, China.
Pemenang terpaksa ditentukan menerusi penalti shoot-out apabila kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada tempoh permainan sebenar.
Pada aksi sengit itu, Pakistan bermula garang apabila meledak dua gol awal menerusi pukulan sudut penalti disempurnakan oleh Abdullah Awan pada minit ke-5 dan Hassan Shahbaz m-8.
Skuad remaja negara kemudian bangkit dengan tiga gol menerusi Muhammad Safwan Salihe yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-10, m-18 dan m-28.
Namun begitu, Pakistan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-40 hasil gol padang dan kedudukan 3-3 kekal sehingga masa permainan sebenar berakhir.