Young Tigers capai matlamat Siri Jelajah China

Young Tigers capai matlamat Siri Jelajah China


PENGENDALI skuad hoki lelaki remaja negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menyifatkan misi Siri Jelajah China berjaya mencapai matlamat utama dalam usaha mempersiapkan pasukan menghadapi Piala Dunia Remaja (JWC) 2025 yang dijadual berlangsung Disember ini.

Menurut Nor Saiful, objektif utama siri perlawanan tersebut adalah untuk menilai prestasi serta mengenal pasti pemain berpotensi tinggi yang mampu memperkuatkan skuad akhir ke JWC.

“Sepanjang siri jelajah ini, kami memberi tumpuan kepada aspek penyesuaian diri pemain serta keupayaan mengekalkan prestasi dalam perlawanan berintensiti tinggi di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sebanyak enam perlawanan persahabatan telah diharungi menentang kelab Lioning HC yang merupakan antara tiga pasukan terbaik peringkat wilayah di China.

Jelas beliau, siri tersebut turut memberikan gambaran lebih jelas kepada barisan kejurulatihan mengenai pemain yang layak diserap ke dalam senarai utama.

“Lawan kami, Lioning, bermain dengan corak hoki moden hasil sentuhan bekas jurulatih Korea Selatan, Kim Sang-ryul yang pernah membawa negaranya ke final Sukan Olimpik Sydney 2000.

“Setiap aksi menentang mereka memberi pengalaman bermakna dan cabaran besar kepada skuad muda negara,” tambah Nor Saiful.

Beliau turut memaklumkan enam tonggak utama pasukan tidak menyertai siri jelajah tersebut dengan empat daripadanya sedang bersama skuad senior negara, dua lagi dalam proses pemulihan kecederaan, manakala seorang penjaga gol tidak turut serta atas sebab tertentu.

“Siri ini juga membuka peluang kepada pemain lain untuk menyerlah. Kami kini dalam proses mengecilkan saiz pasukan daripada 32 kepada 25 pemain.

“Berdasarkan prestasi semasa, beberapa pemain akan dikekalkan manakala yang kurang menyerlah terpaksa digugurkan,” jelas Nor Saiful.

Tambah Nor Saiful, hanya 18 pemain terbaik akan dipilih menyertai kejohanan jemputan Gold Cup di India pada 10 hingga 18 Julai nanti.

 



Source link

OR

Scroll to Top