aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad hoki wanita remaja negara meletakkan sasaran melakar sejarah dengan melayakkan diri secara merit buat kali pertama ke Piala Dunia 2025 apabila turun bersaing di Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia (Wanita) 2024 Al Amarat Muscat, Oman pada 7-15 Disember.
Lima slot ke Piala Dunia ditawarkan buat pasukan yang bersaing di kejohanan kelayakan itu dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama India, China, Thailand dan Bangladesh sementara Kumpulan B menampilkan Jepun, Korea, Hong Kong China, Taiwan dan Sri Lanka.
Seramai 11 pemain yang meraih pengalaman beraksi bersama pasukan senior sebelum ini, disenaraikan dalam skuad negara diharapkan dapat membantu pasukan merealisasikan sasaran itu.
Ketua jurulatih pasukan remaja wanita negara, Lailin Abu Hassan bersama barisan kejurulatihan melakukan tugas dengan baik bagi membangunkan pasukan ini dan meletakkan kepercayaan sepenuhnya untuk keputusan positif dijelmakan oleh Young Tigress.
Lailin menjelaskan pasukannya sudahpun menjalani beberapa fasa latihan persiapan sebelum senarai 20 pemain dimuktamatkan.
Ia termasuk dengan beraksi sebagai satu pasukan di Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2024 yang menyaksikan Young Tigress muncul selaku juara bagi kategori wanita.
Mengulas mengenai persaingan di peringkat kumpulan Lailin berkata, Kumpulan A adalah kumpulan yang cukup kuat namun itu bukan satu alasan malah barisan pemain kini tampak sudah bersedia menyahut cabaran.
“Untuk saya, perlawanan dengan India dan China kami akan cuba sebaik mungkin untuk mencuri mata namun pertemuan dengan Thailand dan Bangladesh adalah aksi wajib memang.
“Saya juga sentiasa mengingatkan pemain untuk tidak sesekali mengambil mudah dalam mana-mana perlawanan bagi memastikan matlamat utama pasukan tercapai,” katanya.
Terdahulu Malaysia ke Piala Dunia Remaja Wanita pada 2022 selepas Jepun menarik diri.
© New Straits Times Press (M) Bhd