Young Tigress sambar slot Piala Dunia Remaja 2025

Young Tigress sambar slot Piala Dunia Remaja 2025


SKUAD hoki remaja wanita negara menutup kempen Piala Remaja Asia 2024 di kedudukan kelima selepas menewaskan Thailand 6-0 dalam klasifikasi tempat kelima keenam di Stadium Hoki Al Amarat, Muscat, Oman.

Kemenangan diraih Young Tigress kendalian Lailin Abu Hassan itu juga membolehkan skuad muda negara tersebut menyambar slot terakhir ke Piala Dunia Remaja yang bakal berlangsung di Santiago, Chile tahun depan.

Kejayaan itu juga turut menjadi satu sejarah buat kem berkenaan apabila layak secara merit buat kali pertama dalam tempoh 35 tahun sejak kejohanan tersebut diperkenalkan pada 1989.

Nurshamine Azureen Mohammed Badusha mengetuai senarai penjaring apabila meledak hatrik (m-2, kesembilan, m-19) manakala, Azmyra Mia Sofea Azhairy menyumbang dua gol (m-30, m-53) dan Thibatharshini James menyempurnakan jaringan hasil pukulan sudut penalti (m-47).

Sementara itu, dua pemain negara Zati Alyani Muhammad Zubir dinobatkan Pemain Terbaik Perlawanan dan Nurshamine Azureen pula menerima anugerah Bintang Sedang Meningkat Naik.

Kemaraan itu menyaksikan Malaysia menyertai empat lagi negara yang telahpun layak ke Piala Dunia lebih awal bagi benua Asia iaitu China, India, Jepun dan Korea Selatan.

Untuk rekod, sebanyak 24 negara termasuk tuan rumah layak ke kejohanan itu melalui pertandingan di peringkat benua masing-masing.

Pasukan dari benua, Amerika serta Eropah telahpun layak iaitu Argentina, Kanada, Amerika Syarikat, Uruguay (Amerika); Belgium, England, Jerman, Ireland, Belanda, Sepanyol, Wales dan Scotland (Eropah).

Sementara itu, Lailin melahirkan rasa syukur skuad bimbingannya berjaya menewaskan Thailand dalam penentuan tempat kelima dan keenam.

“Kita telah berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia di Chile pada tahun depan. Hari ini, kita dapat melihat para pemain beraksi bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan.

“Apa yang kita rancang berjalan lancar kerana pemain tahu kita berjuang untuk layak ke Piala Dunia,” katanya.

Mengulas lanjut, Lailin berkata, pemain-pemain menunjukkan prestasi amat baik dan perancangan masa depan perlu diatur bagi memberikan latihan sebagai pendedahan menghadapi Piala Dunia Remaja.

Sementara itu, pengurus Young Tigress, Datuk Mohd Saiyuti Abd Samat berkata, skuad muda negara perlu merancang menyertai jelajah untuk memberikan pemain-pemain lebih pengalaman.

“Langkah pertama kita akan menyertai TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) yang turut disertai kelab-kelab ternama di seluruh negara dan para pemain akan mendapat lebih pengalaman menjelang Piala Dunia,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top